BM | EN | 中文

‘PN sudah ada calon MB Johor’

ronald-kiandee-PN.jpg

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai calon Menteri Besar Johor, kata ahli majlis tertinggi gabungan itu Ronald Kiandee.

Bagaimanapun, Ronald yang juga naib presiden Bersatu enggan mendedahkan nama tersebut, dan berkata ia hanya akan diumumkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“Calon menteri besar (PN) diputuskan ia akan diumumkan presiden parti,” kata Ronald, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PN sudah mempunyai nama calon menteri besar, ketika ditemui di Pagoh, hari ini.

Sebelum ini nama Setiausaha Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal disebut-sebut sebagai calon menteri besar PN sekiranya gabungan menang pilihan raya negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Bagaimanapun Sahrudin yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong berkata, perbincangan mengenai jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu berada di luar pengetahuannya.

Untuk rekod, dia menjadi menteri besar Johor selama 10 bulan – dari April 2019 sehingga runtuhnya kerajaan PH pada Februari 2020.

Sementara itu, Ronald turut mengulas kenyataan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bahawa Muhyiddin bertanggungjawab menggagalkan kemaraan bekas perdana menteri Najib Razak, walaupun setelah ditolak termasuk oleh pengundi Johor sendiri pada PRU lalu.

Dia berkata terpulang kepada pengundi untuk menilai pemimpin dan parti mana yang paling layak mentadbir Johor berdasarkan prestasi pentadbiran sebelum ini.

“Justeru, lebih baik kita serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di Johor untuk menilai parti yang mampu memberikan pilihan terbaik,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

scroll to top