KULAI, 29 SEPT : PKR negeri bersedia memberi sokongan terhadap sesiapapun calon yang diletakkan untuk bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai yang dijangka berlangsung bulan depan.
Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, berikutan itu, partinya telah memulakan gerak kerja untuk mengadakan pelbagai program berkaitan.
“Esok kita akan adakan mesyuarat membabitkan Ketua Cabang Johor bersama Presiden Parti di Kuala Lumpur untuk briefing (taklimat) tentang Tanjung Piai.
“Dalam masa yang sama juga Pakatan Harapan (PH) juga akan mengadakan mesyuarat, Jumaat ini.
“Jadi, selepas kedua-dua mesyuarat ini, maka kita boleh merangka strategi yang lebih tersusun,” katanya ketika ditanya pergerakkan PKR Johor berhubung PRK Parlimen Tanjung Piai.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wira Dr Md Farid Md Farid meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 September lepas.
Jimmy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri berpendapat PRK kali ini tidak boleh diambil mudah.
“Ini adalah kali pertama PRK berlangsung di Johor dan prestasi pemerintahan PH di negeri ini akan dilihat.
“Nak berkata tentang calon masih terlalu awal. Tetapi, yang penting, kita kena buktikan kepada rakyat, kita bersedia untuk bekerja bagi maintain (kekal) kerusi ini.
Ujar Adun Bukit Batu itu, banyak faktor yang akan terlibat dengan Parlimen Tanjung Piai termasuk soal calon yang akan diletakkan BN.
“Arwah Dr Md Farid mempunyai standart sendiri. Jadi, sesiapapun menjadi calon untuk PH perlu mempunyai garis ukur yang tinggi.
“Perlu cari seorang mesra rakyat, sedia berkhidmat dan kalau boleh dalam kalangan yang muda,” katanya.
Johorkini