BM | EN | 中文

PKPD: MKN ambil alih kawalan UTM hingga 3 Jun

universiti-teknologi-malaysia-UTM.jpg

Gambar Ehsan utm.my

Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 MEI: Proses kawalan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini akan diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula esok hingga 3 Jun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus itu.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, segala keperluan asas dan kebajikan seluruh warga kampus UTM Johor Bahru akan diuruskan oleh MKN termasuk agihan makanan dan keperluan khususnya kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman.

“Pelaksanaan PKPD merupakan tindakan terbaik bagi mengekang penularan wabak daripada terus merebak, sekali gus memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan sanitasi dan pengesanan kontak terhadap kes-kes yang dilaporkan di kampus.

Advertisement

“Sungguhpun begitu, pengurusan universiti masih merupakan pemegang amanah utama terhadap kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga kampus. Segala keperluan dan kebajikan warga kampus akan dipastikan terjaga dan terjamin,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya pada Khamis.

Ahmad Fauzi berkata, universiti itu akan menggerakkan bantuan secara berterusan kepada warga kampus yang terkesan.

Sehubungan itu beliau menasihati seluruh warga universiti terbabit agar kekal tenang, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN dan KKM serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan Covid-19.

Advertisement

UTM dalam satu kenyataan pula memaklumkan semua operasi fizikal di kampus UTM Johor Bahru tidak dibenarkan, dan kakitangan universiti itu diminta bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh PKPD kecuali kakitangan Pusat Kesihatan Universiti.

“Pintu pagar utama hanya akan dibuka hingga 5 petang ini untuk sebarang urusan penutupan pejabat. Hanya pintu pagar utama universiti iaitu Pintu 1 akan digunakan sepanjang PKPD manakala perkhidmatan penghantaran makanan, kafeteria dan kedai di dalam kampus hanya dibenarkan hingga 10 malam ini sahaja.

“Kesemua pelajar tidak dibenarkan keluar dari kampus berkuat kuasa serta-merta dan kakitangan yang bertugas dalam perkhidmatan perlu, mesti tinggal di dalam kampus selama tempoh PKPD. Kafeteria dan kedai di dalam kampus akan ditutup sepanjang PKPD,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

UTM turut memaklumkan kawalan pergerakan terdahulu bagi Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dan Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) dilanjutkan hingga hari ini; namun bermula esok hingga 3 Jun, keseluruhan kampus UTM Johor Bahru adalah tertakluk kepada arahan PKPD di bawah MKN.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PKPD akan dilaksanakan di kampus berkenaan mulai esok hingga 3 Jun berikutan 49 kes positif Covid-19 direkodkan setakat ini hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan ke atas penghuni KDSE, KTHO, KTDI, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan kampus itu.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top