BM | EN | 中文

PKPD Institut Latihan KKM Johor Bahru bermula 3 hingga 16 November

PKPD-ILKKM-Johor-Bahru.jpg.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Johor Bahru bermula esok hingga 16 Nov.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bagi menyekat penularan COVID-19.

Katanya sehingga kini, sebanyak 1,515 saringan COVID-19 telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu 46 individu didapati positif COVID-19.

Advertisement

“PKPD ini akan melibatkan 1,559 individu yang terdiri daripada pelatih ILKKM, kakitangan serta ahli keluarga dan pekerja sokongan.

“Dengan pelaksanaan ini, semua yang terlibat dikehendaki dan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pergerakan keluar masuk ke ILKKM adalah tidak dibenarkan,” katanya, lapor Bernama

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Advertisement

Ismail Sabri turut berkata seramai 538 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam dan daripada jumlah itu, seramai 531 individu dikompaun manakala tujuh lagi direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (136), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (80), penjarakan fizikal (82), premis beroperasi lebih masa (17), aktiviti di pusat hiburan (78) dan lain-lain (145), katanya.

Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak COVID-19, beliau berkata seramai empat warga asing dan seorang tekong ditahan, selain sebuah bot serta lapan kenderaan darat dirampas, semalam.

Advertisement

Katanya, sebanyak 300 sekatan jalan raya turut dilaksanakan semalam.

Beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 59,629 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 63 hotel serta 19 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,111 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 49,137 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top