BM | EN | 中文

PKPB di Tongkang Pecah, Batu Pahat 29 Nov hingga 13 Dis

Tongkang-Pechah-Batu-Pahat-Johor.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksana di Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor, bermula Ahad ini (29 Nov) sehingga 13 Dis, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa COVID-19 di kawasan berkenaan yang merekodkan 56 kes positif COVID-19 setakat ini.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 672 ujian saringan dan 56 kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan ini. Pada masa sama, masih terdapat 302 sampel saringan yang masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Advertisement

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata PKPB di Tongkang Pecah akan melibatkan 16,300 penduduk di empat kawasan iaitu Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga 10, Batu 7 dan Kampung Mohd Nor.

Katanya pelaksanaan PKPB itu juga membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan tersebut.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) PKPB adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Advertisement

Bernama melaporkan Ismail sebagai berkata, pelanjutan waktu operasi pasar harian di kawasan PKPB bermula 10 pagi hingga 4 petang berkuat kuasa esok, setelah mempertimbangkan rungutan dan kekangan yang dialami peniaga.

“Sebelum ini pasar harian di kawasan PKPB hanya beroperasi bermula 10 pagi hingga 2 petang, malah pelanggan juga ada merayu diberi masa tambahan untuk memudahkan pembelian, jadi kami tambah dua jam dengan memastikan anggota RELA ditugaskan mengawal pasar tersebut supaya SOP dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan PKPB di daerah Kuching, Sarawak yang bermula 9 Nov lepas ditamatkan hari ini, seperti yang dijadualkan selepas KKM mengesahkan baki kes aktif COVID-19 di daerah itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

Advertisement

Mengenai task force operasi pematuhan, beliau berkata pihak polis menahan 308 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP dengan kesalahan tertinggi kerana tidak memakai pelitup muka, diikuti gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri.

Mengenai pelaksanaan ujian saringan COVID-19 kepada pekerja warga asing, beliau berkata ujian itu akan dijalankan secara berperingkat dan bersasar mulai 1 Dis ini, di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah serta Labuan.

Ismail Sabri berkata majikan perlu mengatur temu janji dengan fasiliti kesihatan swasta bagi ujian kaedah RTK Antigen, memastikan fasiliti kesihatan swasta menjalankan ujian mengikut SOP ditetapkan, kos perkhidmatan klinik atau hospital perlu dibayar majikan, sementara kos kit ujian (RM60) ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk ujian kali pertama sahaja.

Advertisement

“Selain itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga mula melaksanakan penguatkuasaan ke atas perumahan serta penempatan pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Semalam beberapa kilang di beberapa negeri dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Akta 446,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top