BM | EN | 中文

PKPB di Johor langkah awal elak COVID-19 lebih serius – Dr Adham

Adham-Baba.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 15 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Johor sejak Isnin lepas merupakan langkah awal bagi memastikan pandemik COVID-19 tidak merebak dengan lebih serius di seluruh negeri, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Kita lihat hari ini, terdapat kes-kes hadir di beberapa tempat dalam negeri Johor…saya difahamkan di Tenggaroh ada satu kes, Kluang dan juga Tangkak.

Jadi, PKPB ini dibuat untuk mengelak dan mencegah penularan lebih awal daripada terus merebak, langkah yang kita ambil ini adalah langkah awal. Jangan sampai esok kes naik mendadak, baru tanya kenapa tidak buat awal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau proses saringan komuniti penduduk Kampung Lukut, di sini, semalam.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kerajaan Negeri Johor yang mengesyorkan PKPB di negeri ini dilakukan secara bersasar dan dilaksanakan di kawasan atau daerah Zon Merah dan bukannya melibatkan seluruh negeri seperti yang dilaksanakan sekarang.

Sementara itu, mengulas mengenai Kluster Padang yang dikesan di Kota Tinggi, 5 Nov lepas, beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah itu hanya akan dilakukan sekiranya kes positif COVID-19 menjangkau 40 kes.

Setakat ini sebanyak 34 kes positif COVID-19 dikesan melibatkan Kluster Padang.

Advertisement

“Kluster Padang ini melibatkan tujuh kawasan di empat mukim iaitu Mukim Sedili Kecil, Mukim Sedili Besar, Mukim Kota Tinggi dan Mukim Ulu Sungai Johor.

Secara keseluruhan Kluster Padang ini, kita telah saring 800 orang dan untuk Kampung Lukut ini sahaja, 16 kes telah dikesan dan lebih kurang 350 orang disaring, keputusan akan diketahui satu atau dua hari lagi,” katanya.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top