SEGAMAT, 14 JUL: Masih ada penduduk yang masih belum menerima pelitup muka yang dibekalkan kerajaan meskipun perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilaksanakan selama lebih empat bulan.
Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata beliau dimaklumkan bahawa ramai penduduk masih tidak menerima empat keping pelitup muka melalui peruntukan kerajaan seperti yang dijanjikan, khususnya di kawasannya.
“Kerajaan akan memberi pelitup muka kepada 8.63 juta isi rumah secara percuma, iaitu empat (4) keping setiap isi rumah.
“Kenapa agihan pelitup muka di kawasan Jementah masih tidak diedarkan? Adakah pelitup muka tersebut telah ‘dirompak’ oleh pihak tertentu? kata Tan dalam satu kenyataan semalam.
Tan merujuk kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Mac bahawa kerajaan akan mengagihkan topeng muka percuma kepada 8.63 juta isi rumah di seluruh negara secara berperingkat dalam waktu terdekat ini.
Difahamkan topeng muka berkenaan akan diedarkan melalui jawatankuasa bencana negeri dan daerah.
Justeru itu katanya, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu melaksanakan tanggungjawab, menjalankan siasatan dan mengarahkan pihak agensi kerajaan supaya agihan pelitup muka di Jementah dilakukan secepat mungkin.
Katanya, rakyat Malaysia akur dengan nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham untuk memakai pelitup muka dan amalan penjarakan sosial bagi memutuskan rantaian COVID-19 dan mengelakkan jangkitan gelombang kedua berulang.
“Jangan sia-siakan usaha pencegahan wabak COVID-19 yang dilakukan oleh semua pihak sebelum ini,” katanya lagi.
Tan sebelum itu mengagihkan sebanyak 2,000 pelitup muka kepada penduduk di sektar DUN Jementah.
Johorkini