PONTIAN, 29 APR: Keluhan disuarakan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri membawa persepsi berbeza berhubung jalinan kerjasama Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Mengulas perkara itu Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman berkata Bersatu masih mempunyai peluang untuk berunding semula dengan PH bagi menubuhkan kerajaan, melihat kepada sikap Umno yang dilihat semakin menyisihkan rakan gabungannya itu.

Taqiuddin Cheman
“Perkara ini boleh dibincangkan. Hubungan kami (PH) suatu ketika dulu baik dan semuanya berlaku akibat keputusan peringkat nasional yang mahukan perkara seperti hari ini terjadi.
“Semasa Bersatu menjadi komponen PH, mereka mendapat tempat tinggi seperti jawatan Menteri Besar, namun hari ini kehadiran mereka dalam gabungan PN seperti tidak dihargai.
“Kita masih terbuka untuk berbincang membentuk suatu gabungan yang kuat, bukan rapuh seperti PN hari ini yang terpaksa setiap hari mengira-gira Adun untuk menyokong mereka kerana majoriti terlalu tipis untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu Adun Maharani, Nor Hayati Bachok ketika dihubungi turut menyatakan pendirian serupa.
Katanya, hubungan yang baik di kalangan ahli di peringkat akar umbi di negeri ini menjadi retak apabila keputusan di peringkat nasional yang memutuskan untuk bergabung dengan Umno dan Pas pada hujung Februari lalu.
“Ada ahli yang masih keliru dengan keputusan membentuk kerajaan negeri hari ini bersama-sama PN dan kebanyakan mereka mulai mengeluh kerana dipinggirkan pucuk pimpinan yang diterajui Umno,” katanya.

Nor Hayati Bachok
Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Johor itu menambah, kini adalah masa yang baik untuk Bersatu serta PH bermuhasabah membina ukhuwah sesama mereka dalam memacu negeri Johor mengikut cara seperti sebelum ini tanpa mengikut telunjuk sesiapa.
“Saya mengajak agar Bersatu kembali semula membentuk pakatan yang kuat bagi usaha memenangkan rakyat khususnya di negeri ini serta membawa semula agenda yang telah dijanjikan semasa PRU 14 tempoh hari.
“PN pun dilihat rapuh dengan gagasan yang tidak berdaftar, serta setiap hari dilihat seperti menyalahkan antara satu sama lain sehingga Bersatu ‘tersepit’, katanya lagi.
Pada 27 April, media melaporkan Setiausaha Agung Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN di Johor agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.
Solihan dilaporkan berkata, 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam dewan undangan negeri (DUN) mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kita (Bersatu) berharap rakan dalam PN tidak mengambil mudah keberadaan Bersatu dalam PN kerana tanpa kami, kerajaan yang ada sekarang tidak mungkin menjadi kenyataan,” katanya.
Manakala hari ini, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan berkata, Bersatu di negeri ini hanya ‘digunakan’ untuk memperkukuhkan kedudukan Umno.
Katanya,Umno Johor hendak memonopoli kuasa termasuk menyingkir pimpinan parti Bersatu dari jawatan-jawatan lantikan politik tertentu di negeri ini.
Johorkini