BM | EN | 中文

Pincang dan cuai tatacara batal enam ordinan darurat, petanda kerajaan gagal

Lim-Guan-Eng.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Kepincangan dan kecuaian dalam tatacara pembatalan enam ordinan darurat yang menimbulkan kekeliruan rakyat adalah satu lagi petanda sebuah kerajaan gagal.

Ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan PN bukan sahaja telah menghina Parlimen secara terbuka tetapi juga gagal menghormati prinsip Rukunegara dalam Kedaulatan Undang-Undang.

Katanya, setelah mendapat tekanan hebat pembangkang di Parlimen semalam, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan telah membuat pengumuman luar biasa secara gopoh dan tergesa-gesa bahawa kerajaan tidak akan melanjutkan Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos.

Advertisement

Tambah Guan Eng, Takiyuddin telah memutuskan untuk membatalkan enam Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai lalu dan mengheret seluruh negara ke dalam kekeliruan yang besar.

“Tidak ada pengumuman awal sebelum sidang Parlimen pada 26 Julai, bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membatalkan enam ordinan darurat yang diikuti dengan Warta Kerajaan Persekutuan seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak ada kenyataan bertulis yang jelas dikeluarkan bagi menyatakan 6 Ordinan Darurat yang telah dibatalkan, bersama dengan warta persekutuan yang perlu dibentangkan di Parlimen sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

“Sebaliknya, pihak pembangkang terpaksa memaksa kerajaan untuk memberikan maklumat tersebut.

“Daripada lenggok badan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Takiyuddin ketika ditekan ahli parlimen Pembangkang semalam, nampak seperti Yang di-Pertuan Agong masih belum memberikan perkenan Diraja dan sebab itu tiada warta Persekutuan,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Guan Eng lagi, oleh kerana tiada Warta Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan perlu membentangkan usul di Parlimen sebagaimana dikehendaki Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan supaya 6 Ordinan Darurat berkenaan dibatalkan.

Advertisement

“Jika tidak, pengumuman oleh Takiyuddin gagal memberikan kepastian, kejelasan dan ketekalan yang amat penting bagi urus tadbir keadilan.

“Kekeliruan besar yang disebabkan oleh kegagalan untuk menegakkan undang-undang adalah satu lagi petanda kerajaan gagal,” ujarnya lagi.

Antara isu tersabit pembatalan Ordinan Darurat mulai 21 Julai lalu adalah denda RM1,000 untuk individu dan RM50,000 untuk badan korporat bagi kompaun yang dikeluarkan.

Advertisement

Tambah beliau, keengganan kerajaan menjernihkan kekeliruan ini memberi banyak implikasi praktikal dalam pentadbiran kerajaan kerana Ordinan Darurat masih mempunyai keberkesanan undang-undang.

“Persoalan terbesar adalah keabsahan perundangan bagi 2,200 kompaun yang dikeluarkan terhadap individu antara 21 Julai dan 25 Julai seperti yang dilaporkan di Malaysiakini,” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top