KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh Pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, di Kota Kinabalu sebentar tadi.
Tarikh penamaan calon adalah pada hari Sabtu, 12 September, manakala hari mengundi awal adalah pada, Selasa, 22 September.
“Bagi maksud PRU DUN Sabah ke-16, sebanyak 64 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.
“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU DUN Sabah ke16, agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon.
“Selain itu,bakal-bakal calon juga adalah dicadang untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
“Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmi turut mengingatkan Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR.
“SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi FB Live di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada PRK sebelum ini,” katanya lagi.
Johorkini