BM | EN | 中文

PILIH WAKIL RAKYAT YANG DAPAT BANTU PEMBANGUNAN SETEMPAT-TUN M

IMG-20191114-WA0007.jpg

 

Oleh: Khairul Mohd Ali dan Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 14 NOV: Pengundi Parlimen Tanjung Piai perlu memilih wakil rakyat yang dapat membawa pembangunan kepada kawasan setempat dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hal ini penting kerana hanya kerajaan memerintah yang boleh memberi bantuan kepada rakyat dan bukannya pihak pembangkang.

Katanya, kerajaan sememangnya mahu meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun wakil rakyat yang dipilih perlulah  mempunyai hubungan baik.

“Kerajaan mahu mempertingkat kemudahan dan infrastruktur seperti jalan raya dan akses internet, tetapi kawasan ini perlu menjadi kawasan kerajaan.

“Maka, kerajaan sahaja yang boleh memberi bantuan kepada rakyat, kerajaan mampu gubal dasar, manakala pembangkang tidak boleh berbuat apa, dia perlu mintak tolong dengan kita (kerajaan).

“Sebab itu perlu pilih calon yang rapat dengan kerajaan. Kerajaan pusat dan negeri adalah Pakatan Harapan (PH), kita mempunyai pelbagai rancangan untuk bangunkan negara dengan cara mengagihkan kekayaan antara bandar dan luar bandar serta negeri dan wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang diadakan di Kukup Laut, di sini, malam tadi.

Justeru, Pengerusi PH itu turut mengingatkan para pengundi agar berhati-hati dalam pilihan raya dan tidak mengundi kerana marah.

“Janganlah undi kerana marah. Kita nak undi, undilah untuk kebaikan diri kita.

“Kalau kita undi orang yang tak boleh berkhidmat, kita yang rugi. Dia tak rugi sebab Yang Berhormat dapat duit tapi kita undi dia kita dapat apa? Pembangunan jauh sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan kini sedang berusaha untuk memulihkan negara daripada ‘penyakit’ yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Bukan mudah untuk perbaiki kesakitan yang dirasai oleh negara sekarang ini. Seperti juga dengan penyakit yang teruk, tak mudah untuk diubati, demikian juga dengan negara.

“Biasanya, penyakit mengambil masa untuk diubati sehingga sembuh. Kalau diberi masa yang cukup, selama lima tahun, tentu lebih banyak bekas penyakit ini dapat dikurangkan atau dipulih semula,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top