PIHAK INDUSTRI, PEMAJU DIGALAK SUMBANG PERSIAPAN KE SEKOLAH
Dzulkefly (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

PIHAK INDUSTRI, PEMAJU DIGALAK SUMBANG PERSIAPAN KE SEKOLAH

GELANG PATAH, 4 DIS: Pihak industri dan pemaju di kawasan ini dan sekitarnya digalakkan untuk membuat sumbangan terutamanya dalam persiapan para pelajar di kawasan ini berdepan sesi persekolahan akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar mempunyai 67,000 pengundi, manakala 130,000 pengundi bagi parlimen Iskandar Puteri.

Justeru itu, katanya, bilangan pengundi yang ramai menggambarkan jumlah besar para ibu bapa dan penjaga yang memerlukan sumbangan pihak swasta bagi persediaan bantuan persekolahan rendah dan menengah.

“Bukan sekadar sumbangan dari Yayasan Penyayang (Iskandar Puteri) sahaja, kita juga memohon sumbangan sosial korporat, terutamanya mereka yang aktif dalam kawasan N49 Kota Iskandar, Medini dan kawasan pembangunan di Gelang Patah.

“Selain daripada mereka menjalankan tugas sebagai pemaju perumahan dan peniaga, mereka juga dapat menyumbang balik sebahagian keuntungan mereka untuk bersama dalam program ‘Kembali Ke Sekolah’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Kembali Ke Sekolah bertempat di Hotel Phoenix Marina Antarabangsa, Forest City, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar Forest City, Ir Syarul Izam Sarifudin.

Dzulkefly yang juga Adun Kota Iskandar berkata, pusat khidmat rakyat kendaliannya juga akan turut mengadakan Program Gunting Rambut Perdana secara percuma sempena persediaan sesi persekolahan akan datang.

Antaranya di Kampung Simpang Arang pada 27 Disember depan dan Masjid Tan Sri Aminulwahid Taman Universiti (28 Disimber) dan Dewan Raya pekan Gelang Patah (29 Disember).

Terdahulu, Forest City meraikan 100 anak-anak asnaf dan yatim dari enam buah sekolah di Gelang Patah bersempena program Kembali Ke Sekolah bagi sesi persekolahan 2020.

Program yang dilaksanakan setiap dua tahun itu merupakan inisiatif Forest City dalam meringankan beban sara hidup bagi keluarga kategori B40 selain menggalakkan minat dan semangat anak-anak ke sekolah.

Tambahnya lagi, sumbangan itu mungkin kecil bagi yang berkemampuan, tetapi besar maknanya kepada mereka yang menerima.

“Sumbangan ini mampu menceriakan anak-anak dan meringankan beban tanggungan para ibu bapa yang membuat persiapan persekolahan.

“Diharap para pelajar yang menerima persiapan ini terus cemerlang di dalam pelajaran untuk tahun-tahun yang akan datang dan menyumbang kembali kepada masyarakat mengikut bidang masing-masing,” katanya.

Penerima sumbangan terdiri dari anak-anak yatim dan asnaf dari sekolah-sekolah di dalam lingkungan dua kilometer dari Forest City, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas, SK Morni Pok, SK Pendas Laut, SK Tanjong Adang, SK Tanjung Kupang dan SK Tiram Duku.

Forest City memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi tujuan membeli kelengkapan persekolahan seperti pakaian uniform, kasut, stokin, beg sekolah, seluar sukan, alatan tulis serta lain-lain keperluan pelajar.

Program yang dijalankan kali ini merupakan yang ketiga diadakan oleh Forest City. Terdahulu program ini telah dilaksanakan pada 2015 dan 2017.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )