BM | EN | 中文

Pidato ahli parlimen Pasir Gudang kecam ketidakadilan ekonomi kapitalisme dipuji warganet

Hassan-Karim-Parlimen-Pasir-Gudang-Anti-Kapitalis.png
Advertisement

PASIR GUDANG, 3 NOV: Pidato ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengenai ketidakadilan sistem ekonomi kapitalisme di negara ini dipuji rata-rata warganet.

Dalam video berdurasi kira-kira 2 minit 12 saat itu, Hassan meminta kerajaan untuk membantu koperasi sebagai alternatif kepada sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di Malaysia.

“Sudah sampai pada masanya negara kita yang sudah lebih enam puluh tahun merdeka, supaya gerakan koperasi ini betul-betul kita angkat menjadi satu platform yang penting dalam sistem ekonomi di negara kita.

Advertisement

“Suka atau tidak suka, kita terpaksa mengakui bahawa ekonomi negara kita sekarang ini bergerak atas landasan sistem kapitalisme, sama ada ‘private capitalisme’ atau ‘state capitalisme’.

“Dalam sistem ini, keutamaan diberikan ialah untuk mencapai keuntungan semaksima yang mungkin. Dalam keadaan inilah wujudnya gerakan koperasi,” kata Hassan dalam perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, sistem ekonomi kapitalisme yang diamalkan seolah-olah seperti ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ yang hanya memetingkan keuntungan sendiri, dan bukannya demi kemaslahatan ramai.

Advertisement

Ujarnya, akibat sistem ekonomi kapitalisme dan dengan wabak Covid-19 yang melanda, ramai di kalangan rakyat terutamanya yang miskin di bandar mahupun kampung menderita.

“Golongan B40 menderita, golongan M40 pun susah sekarang, bukannya T20. Tetapi mungkin T5 atau T1 peratus yang ‘super rich’ yang terlalu kaya menguasai ekonomi negeri kita.

“Dalam keadaan ini koperasi perlu ditolong (sehingga) pada akhirnya boleh bergerak sendiri menjadi satu alternatif kepada sistem ekonomi di negara kita,” ujarnya lagi.

Advertisement

Tambah Hassan lagi, ramai di kalangan rakyat miskin sama ada berketurunan India dan Cina, namun yang paling ramai miskin adalah orang Melayu, Orang Asal dan bumiputera di Sabah dan Sarawak

“Ada akta, perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan), ada kuota dan sebagainya kepada golongan bumiputera dan anak-anak Sabah dan Sarawak ini.

“Ia tidak dapat membantu mereka ini kerana (ekonomi kita) bergerak dalam sistem kapitalisme,” ujarnya lagi.

Advertisement

Terkini, video tersebut yang dimuatnaik di laman Twitter @kuasasiswa milik pereka grafik Fahmi Reza dengan tanda pagar #anticapitalism mendapat lebih 2,000 ulang ciapan.

Ada di kalangan komen dari warganet yang merupakan pengundi Parlimen Pasir Gudang turut memuji Hassan Karim dan gembira apabila ahli parlimen itu membela nasib hidup golongan bawahan.

Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu, termasuk termasuk sekumpulan individu tanpa gangguan kerajaan dengan bermatlamatkan keuntungan maksima.

Advertisement

Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan.

Antara pengkritik sistem kapitalisme adalah pemikir sosial, ekonomi, sejarah dan ahli falsafah Karl Marx yang dalam bukunya ‘The Capital’ berkata bahawa sistem ini mewujudkan jurang perbezaan ketara antara kaya dengan miskin dan menghilangkan sifat kemanusiaan.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top