BM | EN | 中文

Piala Thomas: Indonesia sekat Malaysia ke separuh akhir⋅

Piala-Thomas-Indonesia-sekat-Malaysia-ke-separuh-akhir⋅.jpg

Gambar Ehsan FB Light of Badminton

Advertisement

AARHUS, DENMARK, 16 OKT: Indonesia menafikan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir Piala Thomas 2020 untuk edisi kedua berturut-turut selepas skuad negara pimpinan Lee Zii Jia tewas 3-0 pada saingan suku akhir di Arena Ceres di Aarhus Denmark hari ini.

Indonesia, yang menjulang piala berprestij itu untuk rekod 13 kali sebelum ini, menyingkirkan juara lima kali Malaysia 3-1 pada edisi 2018 di Bangkok.

Kejayaan mara ke suku akhir kali ini sekadar menyamai pencapaian layak ke peringkat lapan terbaik ketika edisi 2010 dan 2012.

Advertisement

Pada edisi 2016, Malaysia mara ke separuh akhir sebelum tunduk kepada Denmark dan dua tahun sebelum itu (2014), skuad negara dikecewakan Jepun di pentas final di New Delhi.

Dalam saingan suku akhir tadi, pemain nombor lapan dunia dan ketua pasukan negara, Zii Jia yang diharap membuka langkah kanan serta menyuntik semangat rakan sepasukan, tidak dapat mengutip mata pertama menentang pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting.

Ginting, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, memulakan perlawanan secara agresif dan hanya mengambil masa 38 minit untuk menumpaskan Zii Jia dengan keputusan 21-15, 21-17.

Advertisement

Malaysia kemudian meletakkan harapan mereka kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengejutkan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Bagaimanapun, beregu Indonesia itu dikenali Minions, memberi saingan hebat untuk menang 21-17, 16-21, 21-15 pada pertarungan hampir sejam, sekali gus melakarkan kemenangan kelapan daripada 10 pertemuan dengan beregu Malaysia itu.

Ketika Indonesia hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan slot separuh akhir, bintang muda negara Ng Tze Yong memberi petanda positif pada awal perlawanan untuk skuad negara bangkit semula tetapi terpaksa tunduk kepada pemain nombor tujuh dunia Jonatan Christie 21-14, 19-21, 16-21.

Advertisement

Indonesia, yang berhasrat menamatkan kemarau gelaran hampir dua dekad selepas kali terkali merangkul gelaran itu pada 2002, akan berdepan dengan Denmark pada saingan separuh akhir esok.

Denmark mara ke separuh akhir selepas mengalahkan India 3-1 pada satu lagi perlawanan suku akhir.

Terdahulu, juara bertahan China tidak menghadapi sebarang masalah menewaskan Thailand 3-0 untuk menentang naib juara Jepun pada satu lagi perlawanan separuh akhir .

Advertisement

Jepun mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas bangkit semula selepas ketinggalan 2-0 untuk mengecewakan Korea Selatan 3-2.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top