JOHOR BAHRU, 25 SEPT : Kelebihan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada masa ini, dijangka akan meningkatkan lagi majoriti undi pada PRK Parlimen Tanjung Piai.
Pengerusi BERSATU negeri, Mazlan Bujang berkata, ini ditambah, rekod cemerlang yang ditampilkan penyandang kerusi itu turut diyakini dapat menambah bilangan undi kepada PH.
“Pada PRU15 yang lepas, kita (PH) sebagai pembangkang. Tetapi, kali ini, PH adalah kerajaan yang memerintah.
“Maka, tidak timbul masalah. Kita boleh terus kekalkan kemenangan. Malah, ‘track record’ Allahyarham yang cemerlang juga sangat membantu PH terus kekal menang untuk kerusi itu,” katanya.
PRK Tanjung Piai dijangka berlangsung bulan depan selepas penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, 42 meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pontian pada Sabtu lalu.
Ketika ditanya tentang calon yang akan ditempatkan di kerusi berkenaan, Mazlan berkata, perkara tersebut belum dimuktamadkan kerana segalanya terletak pada keputusan Majlis Presiden PH.
“Biasanya kalau PRK ini, Majlis Presiden PH yang akan tentukan calonnya. Kita di peringkat negeri hanya akan senaraikan beberapa nama,” katanya.
Allahyarham Md Farid daripada BERSATU memenangi kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 524 undi.
Allahyarham mendapat 21,255 undi apabila menewaskan penyandang kerusi itu, Wee Jeck Seng daripada BN yang meraih 20,731 undi.
Sementara seorang lagi pencabarnya, Nordin Othman daripada PAS sekadar memperoleh 2,962 undi.
Johorkini