PAGOH, 13 DIS: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedar akan kepentingan untuk meningkatkan peluang pekerjaan buat rakyat negara ini, khususnya generasi muda.
Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal itu kerana masih ramai golongan muda yang belum mendapat pekerjaan walaupun telah tamat pengajian.
“Perkara ini akan menimbulkan masalah dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan generasi muda, jadi kementerian perlu ada usaha untuk menambah peluang pekerjaan.
“Golongan muda dikenalpasti mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam teknologi yang dilihat boleh memberi nilai tambah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh, di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh, di sini hari ini.
Muhyiddin membuat kenyataan itu berhubung beberapa kajian dilakukan berhubung prestasi kerajaan, termasuklah penerima yang rendah terhadap kerajaan oleh golongan muda.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberitahu, kerajaan PH tidak menolak sebarang kajian dilakukan berhubung prestasi pihaknya sekiranya kajian tersebut dijalankan secara ilmiah dan boleh digunapakai.
Katanya, hasil kajian berilmiah dapat membantu kerajaan menambah baik prestasi dan imej di mata rakyat.
“Daripada kajian itu, kita ambil hasilnya dan teliti balik. Kita tidak perlu terasa gundah-gulana walaupun hasilnya menunjukkan trend yang tidak menggalakkan.
“Mungkin kelemahan berlaku dari segi menjelaskan dasar perjuangan parti kita, dasar kerajaan yang belum difahami, itu perlu dipertingkat lagi, tambahnya.
JohorKini