BM | EN | 中文

PH tak setuju PRN Johor kerana bimbang kalah?

shamsul-anuar.jpg

PETALING JAYA, 27 DIS: Pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan kerana bimbang sekali lagi kalah selepas menghadapi episod kekalahan dalam dua kali pilihan raya sebelum ini, kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, pakatan pembangkang itu sebelum ini kalah dalam PRN Melaka dan kemudian PRN Sarawak.

“PRN Melaka kalah, PRN Sarawak pun kalah. Jadi PH bimbang terus kalah di Johor. Sebab itu tidak setuju diadakan PRN Johor.

“Apapun kita fokus selesaikan banjir dulu,” katanya, lapor Utusan Online.

Semalam, PH Johor menolak pelaksanaan PRN pada waktu ini kerana ia dilihat tidak sensitif memandangkan rakyat sedang mengalami krisis kesihatan Covid-19 dan ekonomi domestik.

Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama memaklumkan, PH Johor sebulat suara memberi komitmen sepenuhnya dalam membela nasib rakyat, berbanding hal politik dan soal perebutan kuasa.

Menurut mereka segala usaha, tenaga, komitmen dan dana harus disalur untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan, walaupun kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini berada pada angka 28-27 selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN, kerana mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

Kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi iaitu BN 16 kerusi; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (11); dan PAS (satu) manakala PH pula 27 kerusi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top