JOHOR BAHRU, 6 JUL: Pakatan Harapan (PH) Johor akan mewujudkan kabinet bayangan untuk memainkan peranan semak imbang terhadap polisi dan dasar kerajaan Johor pimpinan Umno.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi PH Johor berkata pihaknya yakin akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan berdasarkan pengalaman yang ditimba sepanjang 22 bulan sebagai kerajaan,
“Senario semasa kerajaan Perikatan Nasional yang tidak stabil memungkinkan berlakunya pilihanraya umum ke-15 dalam masa terdekat.
“Justeru, jentera bagi kawasan DUN dan Parlimen akan diwujudkan bagi memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya yang mungkin berlaku pada bila-bila masa,” menurut PH Johor dalam satu kenyataan selepas mesyuarat bulanan gabungan itu di Johor Bahru.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara negeri Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong
Tambah kenyataan itu, nengambilkira kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sudah tidak lagi menjadi sebahagian daripada komponen PH, penyusunan semula struktur kepimpinan ahli jawatankuasa di semua peringkat di negeri Johor akan dilakukan.
“PH Johor akan terus memperkemaskan gerak kerja bersepadu melibatkan parti-parti komponen diperingkat akar umbi serta melipat gandakan usaha untuk terus berkhidmat kepada rakyat.,” tambah kenyataan itu.
Johorkini