JOHOR BAHRU, 17 OGOS: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, beliau terbuka dan sedia berunding dengan mana-mana sekiranya ada pihak yang ingin bersama gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri yang baru.
Ini berikutan desas desus kuat mengatakan terdapat tiga Adun Perikatan Nasional (PN) di Johor yang akan mengisytihar keluar gabungan itu dan bersama PH di Johor.

Aminolhuda Hassan
Katanya, beliau dihubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan pengesahan sama ada berlaku perubahan kerajaan negeri ini.
“Ianya mungkin khabar angin. Sehingga setakat ini tidak ada mana-mana wakil Adun PN yang menghubungi saya.
“Walaubagaimanapun kita sedia berunding dengan mana-mana pihak sekiranya langkah ini terjadi dan ia pastinya melibatkan pihak dari komponen PH yang lain.
“Matlamat kita hanyalah untuk memulangkan mandat rakyat yang telah diberikan kepada PH sewaktu PRU 14 tempoh hari.
“Ia menjadi asas sekiranya desas-desus itu terjadi bagi kita berunding serta membentuk semula kerajaan PH di negeri ini,” katanya.
Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani tidak menafikan kerajaan Johor hari ini berada dalam keadaan tidak stabil kerana masalah dalaman yang dihadapi.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Taqiuddin Cheman berkata, kehadiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Johor semalam sebagai bukti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin terjejas di negeri ini.
“Sehingga setakat ini kenyataan terhadap tiga Adun PN itu masih samar-samar.

Taqiuddin Cheman
“Apa yang pasti kehadiran PM ke Johor semalam menandakan keresahan yang berlaku selepas gelombang akar umbi Bersatu yang keluar parti di Johor.
“Saya mengucapkan tahniah kepada keberanian ahli akar umbi Bersatu yang berjaya menunjukkan sikap bahawa pengkhiantan ini adalah bukan sikap sebenar kebanyakan ahli Bersatu.
“Perkara itu perlu juga dizahirkan oleh pimpinan negeri ini dan peringkat pusat sebagai tanda mereka mahu kembali mandat yang diberikan rakyat kepada mereka sewaktu PRU 14 yang lalu,” ujarnya ketika dihubungi.
Johorkini