JOHOR BAHRU, 4 MEI: Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, bagi menterjemahkan demokrasi yang diamalkan di Malaysia, masih terdapat pelbagai cara yang boleh dibuat antaranya melalui undi menentukan kedudukan Menteri Besar dalam Dewan Undangan Negeri.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, PH Johor mengambil maklum kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysai (Bersatu) Datuk Mukhriz Mahathir bahawa pilihan terbaik bagi parti itu adalah untuk terus bersama dengan gabungan PH.
Ia katanya, berdasarkan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang jelas menggambarkan bahawa Umno hanya mempergunakan Bersatu untuk menumbangkan PH.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan Bersatu di Johor supaya mencermin diri sendiri dahulu sebelum boleh `cakap banyak’ menguar-uarkan kepentingan mereka dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Malah, tegas Nur Jazlan, jika ada cadangan Bersatu untuk menggantikan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dari Umno, ia tidak memberi sebarang makna kerana parti itu tidak ada majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selain kerjasama yang rapuh dengan PH.
“Bersatu ni jangan cakap banyak. Lebih baik Tuanku bubar DUN. Dan keputusan itu akan jadi domino untuk kerajaan negeri lain tumbang dan akhirnya Kerajaan Pusat,” kata Jazlan.
Justeru itu, PH Johor berpandangan kenyataan Nur Jazlan jelas menggambarkan bahawa Umno hanya mempergunakan Bersatu untuk menumbangkan PH dan apabila hasrat tersebut telah tercapai, tiada lagi keperluan Bersatu bagi Umno.
“Terlalu banyak perkara yang lebih penting dan utama perlu dihadapi oleh rakyat hari ini berbanding dengan keperluan mengadakan pilihan raya seperti yang dicadangkan oleh Nur Jazlan.
“Tambahan pula, kenyataan Jazlan yang membangkitkan soal ‘snap polls’ serta keyakinan beliau terhadap kemenangan Umno dengan majoriti lebih besar merupakan isyarat jelas dari Umno untuk membunuh Bersatu Johor.
“Sehubungan dengan itu, PH Johor terbuka untuk menerima mana-mana wakil rakyat termasuklah dari Bersatu Johor untuk meninggalkan Perikatan Nasional seterusnya bersama-sama kami menjunjung mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam PRU14 lalu untuk mentadbir Johor,” tambah kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong.
Gabungan Perikatan Nasional (PN) di Johor dilihat rapuh melihat kepada kenyataan dikeluarkan Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri pada 27 April lalu.
Solihan berkata parti lain yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.
Katanya, 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam dewan undangan negeri (DUN) mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kita (Bersatu) berharap rakan dalam PN tidak mengambil mudah keberadaan Bersatu dalam PN kerana tanpa kami, kerajaan yang ada sekarang tidak mungkin menjadi kenyataan,” kata Solihan.
Lanjutan itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan kesediaan untuk PH menerima semula Bersatu di Johor.
Katanya, mereka yang kini bersama PN masih terbuka untuk diterima PH yang hubungannya lebih harmoni, berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka hari ini.
Johorkini