JOHOR BAHRU, 12 JUN: Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), merampas 1,800 karton rokok seludup bernilai RM380,160 termasuk cukai, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bindu, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat, semalam.
Komander Briged Tengah PGA SAC Muhammad Abdul Halim berkata, selain rampasan rokok jenama U2 itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berumur 35 dan 49 tahun, yang dipercayai terlibat mengedar rokok tersebut.
“Serbuan berkenaan dilakukan pada kira-kira 12.30 tengah hari dengan dibantu Cawangan Risik Batalion 5 PGA.
“Selain 1,800 karton rokok bersamaan 360,000 batang rokok tersebut, dua kereta jenis Proton Waja dianggar bernilai RM30,000 dan sebuah Proton Gen2 dianggar bernilai RM17,000, dipercayai digunakan untuk mengedar rokok seludup tersebut, turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad berkata kesemua barangan dirampas yang keseluruhannya dianggar bernilai RM427,160 serta dua lelaki tersebut, telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk siasatan lanjut, mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
Bernama