BM | EN | 中文

Petronas tingkatkan akses tenaga bersih menerusi saluran paip maya

RGT-Pengerang.png

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Petronas melancarkan penyelesaian Sistem Paip Maya (VPS) melalui Terminal Regasifikasi Pengerang (RGT), Pengerang, Johor baru-baru ini sebagai sebahagian daripada penyelesaian terkini berteraskan pelanggan untuk memudahkan pertumbuhan penggunaan tenaga bersih di seluruh Semenanjung.

Penyelesaian VPS yang dibangunkan oleh Gas & Power, perniagaan gas dan tenaga (daripada gas dan tenaga baharu) dan dipasarkan Petronas Dagangan Bhd, menghantar gas asli cecair (LNG) dengan trak yang dilengkapi tangki kriogenik kepada pelanggan di luar bandar.

Menerusi penyelesaian VPS, Petronas memberi kemudahan kepada industri di Semenanjung yang tidak dihubungkan dengan infrastruktur gas asli, pilihan untuk bertukar kepada gas sebagai alternatif bagi tenaga bersih.

Sebagai sebahagian daripada fasa perintis, Petronas menyelesaikan penghantaran pertama LNG ke loji pembuatan Continental Tyre Alor Setar Malaysia Sdn Bhd.

“Pengenalan kepada penyelesaian VPS menjadi sebahagian daripada komitmen Petronas kepada kelestarian alam sekitar dan memacu pertumbuhan bagi penggunaan gas asli di Malaysia.

“Dengan menubuhkan ekosistem dan menyediakan infrastruktur yang diperlukan, kami menawarkan tenaga bersih dan berdaya saing kepada pelanggan untuk memperkasa perniagaan mereka,” menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas bagi gas dan tenaga baharu, Adnan Zainal Abidin.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata, menerusi penyelesaian VPS, Petronas menyediakan pusat sehenti kepada pelanggan di luar bandar, merangkumi bekalan, kemudahan muatan dan perkhidmatan logistik bagi memastikan keperluan tenaga bersih dapat dipenuhi.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top