BM | EN | 中文

Petronas selesai operasi pengisian LNG yang pertama di Pasir Gudang

di-Pasir-Gudang.jpg

Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memulakan perniagaan gas asli cecair (LNG) selepas menyelesaikan operasi pengisian LNG yang pertamanya di Pasir Gudang, Johor.

Syarikat minyak nasional itu berkata operasi itu melibatkan pemindahan pengisian LNG kapal ke kapal dari MV Avenir Advantage, kapal pengisian LNG (LBV) pertamanya ke SIEM Aristotle.

Ini dijalankan menerusi kerjasama dengan Titan LNG, penyedia penyelesaian pengisian LNG terkemuka yang beroperasi di Eropah, kata Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Advertisement

“Penyelesaian pengisian LNG yang terbaharu itu adalah sebahagian daripada rangkaian penyelesaian tenaga bersih syarikat untuk memenuhi keperluan pelanggannya.

Ini termasuk penyelesaian sistem saluran paip maya untuk penghantaran LNG kepada pelanggan luar grid di Semenanjung Malaysia yang dilancarkan pada September 2020,” katanya.

Di bawah jenama Petronas Marine, MV Avenir Advantage seluas 7.500 meter padu akan menawarkan perniagaan pengisian LNG untuk mempromosikan penggunaan LNG sebagai bahan api marin yang lebih bersih.

Advertisement

Ia akan menjadi LBV khusus pertama memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Asia Tenggara, kata syarikat itu.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas (Gas dan Tenaga Baharu) Adnan Zainal Abidin berkata LBV dan lokasi strategik kemudahan regasifikasi di Pengerang, Johor, dan Sungai Udang, Melaka telah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengisian LNG yang menyediakan penyelesaian tenaga bersih boleh dipercayai dan kompetitif.

“LBV kami juga dapat beroperasi sebagai pembawa LNG untuk penghantaran ke pusat permintaan gas kecil yang tidak dapat diakses oleh kapal LNG konvensional yang besar,” katanya.

Advertisement

Perniagaan pengisian LNG syarikat tenaga dan penyelesaian global itu juga menunjukkan komitmennya terhadap kelestarian dan menyokong pelaksanaan peraturan International Maritime Organisation 2020.

Sebagai pengeluar LNG global bersepadu dengan pengalaman lebih daripada 37 tahun, Petronas menyediakan bekalan LNG tanpa henti ke lebih daripada 25 negara di seluruh dunia.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top