BM | EN | 中文

Peti sejuk, tilam dan plastik sampah antara ditemui dalam sungai, menurut petugas kebersihan MBJB

sampah-sungai-mbjb.png

Gamar Ehsan BH Online

Advertisement

JOHOR BAHRU, 4 OKT: Peti sejuk, tilam, tayar, sisa pokok dan ratusan plastik sampah antara bahan buangan ditemui petugas kebersihan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang melaksanakan kerja pembersihan di sungai, parit, longkang serta saliran utama susulan banjir kilat di bandar raya ini, Khamis lalu.

MBJB dalam kenyataannya berkata, kerja pembersihan itu dilaksanakan mulai Jumaat dan Sabtu lalu secara manual menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kren bagi tujuan pembersihan sampah di laluan saliran utama.

MBJB turut melaksanakan kerja pembersihan segera terhadap sisa runtuhan struktur dan tembok batu di beberapa saliran utama seperti di Kampung Melayu Majidee dan Sungai Chat, Kampung Md Amin.

Advertisement

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman turut melawat lokasi ‘hotspot’ banjir bagi merangka tindakan penyelesaian bersepadu bagi penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang yang akan dilaksanakan.

“MBJB telah mengenal pasti 24 lokasi hotspot akibat banjir pada Khamis lalu di sekitar bandar raya ini dengan 18 lokasi adalah di bawah seliaan MBJB manakala enam lokasi hotspot lagi adalah di bawah seliaan agensi kerajaan yang lain.

“Antara lokasi hotspot dan terjejas yang dilawati adalah di kawasan Sungai Chat, Kampung Md Amin, Kampung Pasir, Kempas Lurah, Kempas Permatang, Kampung Ubi, Jalan Tiong Larkin Jaya, Larkin Idaman dan Taman Majidee.

Advertisement

“MBJB memohon kerjasama setiap warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah dan sisa domestik di dalam atau berhampiran saliran utama yang sudah pasti boleh menghalang aliran air sewaktu hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang berlaku,” kata agensi itu, lapor BH Online.

Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, baginda juga mahukan kedua-dua pihak berkenaan supaya segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan.

Advertisement

Sementara itu, MBJB berkata, berdasarkan lawatan ke lokasi hotspot, Datuk Bandar Johor Bahru memutuskan untuk melaksanakan kerja pembersihan dasar sungai dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

“Memandangkan kejadian banjir baru-baru ini juga disebabkan oleh projek pembangunan perumahan dan infrastruktur oleh pemaju, MBJB juga telah mengarahkan pemaju untuk membuat kawalan segera bagi memastikan kerja pembangunan yang dibuat, tidak menyebabkan kelodak atau sisa kerja tanah memasuki saliran utama yang boleh menyebabkan kejadian banjir kilat.

“Satu penyelesaian bersepadu di antara MBJB bersama agensi kerajaan dan pihak pemaju lain perlu diselaraskan untuk menyelesaikan isu berkaitan parit dan saliran di dalam kawasan MBJB selain membangunkan sistem tebatan banjir untuk mengelakkan kejadian banjir berulang.

Advertisement

“Bagi tindakan jangka masa panjang pula, MBJB akan melaksanakan kajian bagi memastikan kejadian banjir di kawasan hotspot banjir tidak berulang melalui pembinaan struktur kolam takungan dan sistem pam di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top