PESAN BUKHARI AL-JOHORI BUAT AHLI POLITIK

PESAN BUKHARI AL-JOHORI BUAT AHLI POLITIK

Bukhari al-Johori atau lebih dikenali sebagai Bukhari al-Jauhari ialah pengarang kitab Taj al-Salatin yang menjadi rujukan para pemimpin Aceh.

Kitabnya ini dipercayai berpengaruh dalam mengangkat kegemilangan Aceh Darussalam pada kurun ke-17.

Bermula dari zaman Sultan Iskandar Muda, nasihat-nasihat Bukhari al-Johori ini diamalkan dan diikuti oleh Sultan Iskandar Sultan dan Sultanah Safiatuddin.

Walaupun status pengarang masih belum dapat dipastikan, para orientalis Barat  seperti S Van Ronkel, GK Niemann, C Hoykass dan Winstedt yang mengkaji naskhah ini berpendapat beliau berasal dari Jauhar iaitu merujuk kepada Johor.

Tidak mengapalah andai pengarangnya berasal dari tempat lain. Apa yang penting naskhah ini pernah menyelamatkan Aceh daripada pergolakan politik yang dahsyat di negerinya suatu ketika dahulu.

Ia muncul setelah berlakunya perebutan kuasa sesama ahli waris kerabat diraja hingga berbunuhan sesama mereka.

Ditambah pula dengan masyarakat Aceh yang dibanjiri pelbagai ilmuwan dan pedagang asing yang sukar ditadbir.

Kitab Taj  al-Salatin merupakan  antara  kitab  pertama  di  Alam  Melayu  pada tahun 1603 yang menyentuh  masalah politik dan pentadbiran kerajaan.

Ia ditulis dalam tulisan jawi yang cantik, boleh dibaca dengan baik dan menggunakan bahasa Melayu klasik.

Kitab ini dihadiahkan pengarang kepada Sultan Alauddin Ri’ayat Shah Sayyid  al-Mukammil (1588-1604) sebagai petunjuk atau manual bagi raja-raja dalam pemerintahan mereka.

Salinan kitab ini juga telah disimpan oleh keluarga diraja Kedah dan Johor turun-temurun. Ia pernah dicetak menggunakan teknologi litografi di Johor Bahru pada tahun 1875.

Kitab ini mempunyai 24 Fasal dengan 50 peratus (%) kandungannya berkisar tentang panduan pemerintahan dan adab ketatanegaraan. 17% daripadanya pula berkaitan agama dan 33% berkaitan ilmu lain.

Banyak nasihat yang dikarang oleh Bukhari al-Johori masih sesuai diamalkan hingga kini khususnya buat ahli politik. Dalam Fasal Lima, disyaratkan seorang pemimpin itu perlu memiliki 10 kriteria berikut:

Pertama, hendaklah dia akil baligh dan berpendidikan agar dapat membezakan kebaikan dan keburukan. Kedua, pemimpin perlu memiliki ilmu pengetahuan yang banyak dan berwawasan luas.

Ketiga, jika memilih pegawai, hendaklah pemimpin itu mencari mereka yang pandai dan berilmu agar dapat mengerjakan tugas dengan baik sesuai bidangnya.

Keempat, rupa paras yang baik adalah kelebihan yang menyenangkan orang ramai. Jika tidak, hendaklah pemimpin itu memiliki budi pekerti tinggi.

Kelima, pemimpin perlu memiliki sifat pemurah dan dermawan. Keenam, hendaklah dia sentiasa ingat kebaikan yang dihulurkan orang lain kepadanya saat dia susah dan membalasnya dengan kebaikan pula.

Ketujuh, pemimpin perlu ada keberanian menegur pemimpin atasan sekiranya mereka menyalahi perintah dan undang-undang.

Kelapan, jangan terlampau banyak makan dan tidur kerana ia adalah sumber bencana. Kesembilan, pemimpin bukanlah kaki perempuan kerana ini bukanlah tanda orang berbudi.

Kesepuluh, pemimpin lelaki adalah lebih baik berbanding wanita yang lebih menuruti emosi daripada pertimbangan akal yang sihat. Namun, seandainya tiada lelaki yang layak, perempuan diharuskan menjadi pemimpin asalkan tidak mengundang fitnah.

Begitu berpengaruhnya kitab Taj al-Salatin ini, sejak ia ditulis hinggalah ke akhir abad ke-19, banyak salinan telah dibuat dan diterjemah.

Ia bukan sekadar menjadi bacaan umum dan disimpan di perpustakaan Brussels, Leiden, London dan Jakarta , malah masih dijadikan pedoman pentadbiran oleh raja-raja di Pulau Jawa.

RUJUKAN

http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/4655/1/SHAH_RUL_ANUAR_BIN_NORDIN_24pg.pdf

http://www.ukm.my/rsde/wp-content/uploads/2014/11/11-perkim-warga-asing.pdf

https://ahmadsamantho.wordpress.com/2007/12/26/242/

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )