SEGAMAT, 25 JUL: Ahli Dewan Negeri (Adun) Jementah, Tan Chen Choon mendesak kerajaan negeri untuk mengarahkan pihak kontraktor menyempurnakan kerja-kerja menurap semula jalan sedia ada ke Bukit Jementah, Segamat.
Katanya, peruntukan telah diluluskan dan penyiapan kerja infrastruktur itu pentng sebagai pemangkin pembangunan sektor pelancongan di kawasan itu.

Adun Jementah, Tan Chen Choon menunjukkan salinan surat yang dihantar kepada kerajaan negeri Johor
“Seperti sedia maklum, Bukit Jementah mempunyai daya tarikan sebagai tempat bersenam, mendaki bukit ke puncak untuk melihat sinaran matahari dan awan-awan terapung yang cantik pada waktu subuh dan waktu senja.
“Dengan daya tarikan ini, Bukit Jementah telah dipilih sebagai destinasi fotografi, destinasi mendaki bukit dan destinasi pelancongan oleh warga tempatan, warga Segamat mahupun pelancong asing.
“Selain daripada itu, di persekitaran Bukit Jementah juga terdapat dusun buah-buahan bermusim seperti durian yang diusahakan oleh penduduk-penduduk setempat.
“Maka, Bukit Jementah berpotensi dibangunkan sebagai destinasi agro-pelancongan dan eko-pelancongan pada masa akan datang.
“Usaha ini selaras dengan Strategik Pelan Pertumbuhan Johor bagi Daerah Segamat untuk membangunkan sektor agro-pelancongan dan eko-pelancongan,” kata Tan dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun katanya, jalan sedia ada ke puncak Bukit Jementah ialah jalan tanah merah yang menyukarkan perjalanan pendakian ke puncak bukit dan mendatangkan bahaya kepada para pendaki khususnya selepas hari hujan.
Menurut Tan, melalui pejabatnya, permohonan baikpulih jalan telah dibuat kepada Pegawai Daerah Segamat bagi membangunkan sektor agro-pelancongan dan eko-pelancongan di Segamat ketika kerajaan negeri Johor diterajui Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.
Katanya, pada awal Februari 2020, beliau dimaklumkan Pejabat Daerah Segamat bahawa permohonan peruntukan tersebut diluluskan oleh Pejabat Menteri Besar melalui Unit Pembangunan.
“Peruntukan sebanyak RM400,000 telah disalurkan terus kepada pihak kontrator melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Johor.
“Pada pertengahan bulan Jun, saya telah menghubungi penyelia tapak untuk mengetahui perkembangan terkini projek tersebut.
“Saya amat terkejut dengan jawapan yang diberikan bahawa projek ini tidak dapat dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu.
“Setelah menghubungi pihak pengurusan kontraktor, rupanya sebab tertentu yang dimaksudkan ialah peruntukan sebanyak RM400,000 tidak mencukupi bagi menyempurnakan projek ini.
“Saya amat tidak puas hati dangan jawapan pihak pengurusan kontraktor ini. Saya menegaskan projek ini wajib dimulakan dengan peruntukan sedia ada.
“Sekiranya peruntukan tidak mencukupi,pihak kontraktor boleh memohon peruntukan tambahan dengan kerajaan negeri,” kata Tan yang juga bekas Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar.

Suasana dari puncak Bukit Jementah Segamat
Justeru itu beliau menulis surat permintaan bagi siasatan dan ulasan berkenaan projek ini kepada BPEN Johor.
“Akan tetapi sehingga kini, tiada jawapan atau tindakan susulan diambil oleh kerajaan negeri terhadap pihak kontrator,” kata Tan yang akan terus memantau projek itu dari semasa ke semasa.
Johorkini