PASIR GUDANG, 31 JUL: Peruntukan untuk membina hospital Pasir Gudang telah ada dan pelaksanaannya patut dimulakan segera, kata ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Hassan berkata, beliau telah berulangkali membangkitkan isu pembinaan Hospital Pasir Gudang di Dewan Rakyat, lebih-lebih lagi berdepan isu kekurangan fasiliti kesihatan di kawasan itu.
“Sudah banyak kali saya bangkitkan di parlimen berkenaan projek pembinaan hospital Pasir Gudang yang telah bermula sejak zaman BN dulu.
“Dua tahun kemudian dibawah kerajaan PH (Pakatan Harapan), kemudian Perikatan Nasional. Saya faham, itu perubahan dari kerajaan ke kerajaan yang lain.
“Tapi rakyat di Pasir Gudang berharap sangat hospital yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 ini yang asalnya (berjumlah) RM500 juta, kemudian turun (kira-kira) RM400 juta dan diberitahu ada 300 katil.
“Jadi saya tak tahu (statusnya) sampai sekarang. Sebagai ahli parlimen saya diminta oleh rakyat di Pasir Gudang untuk bertanya kepada menteri dan kerajaan apa status projek hospital Pasir Gudang,” kata Hassan.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.
Tambah Hassan, surat setuju terima (SST) bagi pembinaan hospital itu telah pun dikeluarkan April 2020.
Kerajaan Johor melalui Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Solihan Badri berkata, tender bagi projek pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dianggarkan kira-kira RM500 juta itu telah ditutup pada 21 November 2019.
Pada perbahasan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri Johor, November lalu Solihan berkata, status projek tersebut ketika itu di peringkat jawatankuasa penilaian.
Namun selepas lapan bulan, tidak ada perkembangan terkini berhubung pembinaan hosptal tersebut.
Dalam pada itu Hassan menambah, dua buah hospital dalam daerah Johor Bahru iaitu Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail tiak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat di kawasan Johor selatan
“Ada lima parlimen dalam kawasan ini (daerah Johor Bahru) iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai.
“Jadi perlu hospital seperti yang telah dijanjikan. Peruntukan telah ada, mulakanlah Ipembinaannya),” kata Hassan lagi.
Johorkini