BM | EN | 中文

PERUNTUKAN AWAL RM70 JUTA ATASI KESESAKAN TAMBAK JOHOR

9565D5CC-D41C-4231-9A98-88A2D6AD8B9C.png

JOHOR BAHRU, 24 OGOS: Putrajaya telah meluluskan peruntukan awal sejumlah RM70 juta bagi menangani kesesakan di Tambak Johor terutamanya pada waktu puncak.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Menurutnya lagi, menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor merupakan agenda utama kedua-dua buah negara.

Selain peruntukan awal, Saifuddin berkata Putrajaya juga telah memutuskan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengetuai jawatankuasa khas berhubung isu Tambak Johor tersebut memandangkan dua agensi penting di pintu sempadan negara ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Imigresen. 

“Secara dasar, penyelesaian yang dirancang ialah menambah kakitangan Imigresen dan Kastam di pintu sempadan dan menambah baik sistem yang digunakan seperti penggunaan palang automatik kerana proses memeriksa satu-per-satu mengambil masa.

“Kita juga boleh menambah lorong laluan dan mungkin jika mampu, menggunakan teknologi seperti imbasan wajah namun ini  melibatkan kos yang tinggi,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama selepas menghadiri satu program di Kuantan, Pahang, hari ini.

Singapura sebelum ini juga telah menyatakan komitmen mereka dalam menyelesaikan kesesakan di Tambak Johor yang dianggarkan antara 250,000 hingga 300,000 orang menyeberangi laluan tersebut setiap hari.

Dalam laporan yang sama, Saifuddin turut berkata bahawa antara penambahbaikkan di Tambak Johor melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki berkanopi atau dipanggil ‘gajah menyusur’ bagi memudahkan pejalan kaki yang berulang-alik setiap hari, terutama ketika hujan.

“Ini adalah penyelesaian dari sebelah Malaysia dan kita berharap Singapura juga akan mencari penyelesaian di sebelah mereka supaya masalah kesesakan ini dapat diatasi.”

 

Sumber: Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top