JOHOR BAHRU, 25 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali berkata pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah benar dan atas undangan Perdana Menteri sendiri.
Tambah beliau pertemuan itu juga dalam pengetahuan partinya, Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Sheikh Umar turut memaklumkan, pertemuan berlaku pada petang 15 Jun 2020 di bangunan Perdana Putra.
“Pertemuan tersebut adalah atas undangan YAB PM.
“Sebagai ahli DAP, pertemuan saya dengan YAB PM adalah dalam pengetahuan pimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kandungan pertemuannya dengan Muhyiddin.
Semalam, Sheikh Umar berkongsi sekeping gambar pertemuannya dengan Muhyiddin yang dimuat naik seorang pengguna Twitter dengan nama ‘Tangga Perdana Putra / TanggaPMO’, yang mengandungi soalan “Bersatu tambah kerusi DUN Johor ke?”
Ketua DAPSY Johor itu kemudiannya menjawab soalan tersebut dengan kiriman “Mana tahu DAP yang akan tambah kerusi nanti…”
Untuk rekod, kerajaan Johor yang diterajui Perikatan Nasional (PN) berkedudukan sengit, dengan PN mempunyai 29 kerusi, manakala PH dengan 27 kerusi.
Daripada jumlah itu DAP mempunyai 14 kerusi, manakala Bersatu pula memiliki 11 kerusi.
Johorkini