PASIR GUDANG, 11 JAN: Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar yakin persiapan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 berjalan lancar.
Menurut beliau, pertukaran kembali portfolionya kepada agensi Belia dan Sukan tidak mengganggu kelancaran persiapan sukan dwitahunan itu.
“Saya yakin, pertukaran ini tidak mengganggu persiapan menjelang Sukma Johor 2020, ini kerana persiapannya telah dimulakan sejak Sukma Perak 2018 tamat dahulu.
“Setelah kembali memegang portfolio ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan sekretariat Sukma Johor 2020 untuk memastikan semua kerja berjalan lancar.
“Dalam waktu terdekat ini, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi lain untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Imunisasi Bayi 2020 dan Fun Ride 2020 yang diadakan di KPJ Pasir Gudang, di sini hari ini.
Tambah Mohd Khuzzan, seramai 13,000 atlet dan pegawai sukan dijangka akan terlibat dalam Sukma Johor 2020 dan pihaknya komited untuk memastikan kejohanan itu berjalan dengan lancar.
“Sebanyak 16 sukan wajib dan 10 sukan pilihan akan dianjurkan pada Sukma tahun ini yang melibatkan empat daerah iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi.
“Kerajaan negeri komited dan telah bersedia untuk menerima kehadiran kesemua atlet dan pegawai sukan sepanjang temasya sukan itu berlangsung,” ujarnya.
Johorkini