JOHOR BAHRU, 18 JAN: Persatuan Raban Anak Sarawak Johor telah melancarkan satu tabung derma untuk keluarga Wilson Bangau, jurukimpal yang maut dalam kejadian letupan kecil di sebuah kilang memproses produk kelapa sawit di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini semalam.
Pengerusinya Muhammad Danish Sangkan Jantom berkata pihaknya bersedih dengan kejadian yang menimpa mendiang dan oleh itu, mahu melakukan satu inisiatif bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
“Walaupun kita (persatuan) tahu kos untuk membawa pulang jasad mendiang akan ditanggung oleh majikannya namun kita tetap berasa ada tanggungjawab untuk membantu keluarga mendiang.
“Ini penting kerana mengikut adat masyarakat Iban, jasad akan hanya dikebumikan selepas tiga hari tempoh berkabung untuk memberi penghormatan kepada mendiang. Jadi sekurang-kurangnya dengan derma ini bolehlah meringankan sedikit beban keluarga,” katanya, lapor Bernama.
Muhammad Danish berkata orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menghubungi bapa mangsa iaitu Banggau Anak Ngilah di talian 010-5935 388 atau memasukkannya ke dalam akaun CIMB bernombor 7033 726 777.
“Setakat ini, antara individu yang telah memberikan sumbangan ialah bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Derma beliau telah disampaikan oleh wakilnya di kediaman mendiang di Taman Megah Ria, Pasir Gudang,” katanya.
Muhammad Danish berkata jasad mendiang akan diterbangkan ke kampung halamannya di Kampung Kemintin Tengah, Sungai Klauh, Sri Aman, Sarawak dalam masa terdekat selepas proses bedah siasat selesai dan permit membawa pulang jasad mendiang diperoleh daripada pihak berkuasa.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Wilson, 45, maut akibat terjatuh dari ketinggian 15 meter selepas berlaku letupan kecil disebabkan kerja-kerja pengimpalan.
Dua lagi rakannya, Bonsi Buli, 42, dan Muhamad Syafiq Abdul Rahman, 23, yang berada bersama mangsa ketika kejadian, bagaimanapun hanya patah kaki serta melecur di bahagian muka dan tangan.
Mereka kini dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.
Bernama