BM | EN | 中文

Persatuan penternak unggas Johor gesa kerajaan buka kemasukan pekerja asing ladang

unggas-ayam.jpg

Gambar Ehsan cpmalaysia.com

Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 DIS: Kerajaan digesa membuka kemasukan pekerja asing bagi sektor pertanian khususnya penternak ladang ayam yang berhadapan isu pekerja kritikal.

Pengerusi Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lim Ka Cheng, berkata ladang ayam di negeri ini yang menjadi antara pengeluar ayam segar terbesar negara kini berhadapan kesukaran memenuhi permintaan yang naik mendadak selepas semua sektor ekonomi dibuka sejak Oktober lalu.

Katanya, kekurangan buruh asing di ladang penternakan disebabkan pembekuan kemasukan pekerja asing, menjadi satu daripada faktor pengeluaran ayam segar negara berkurangan sehingga menyebabkan harganya naik mendadak.

Advertisement

“Punca utama harga ayam segar di pasaran adalah daripada kenaikan kos makanan haiwan ternakan, namun lebih memburukkan keadaan adalah disebabkan kekurangan tenaga buruh di ladang-ladang ayam, menyebabkan harga ayam segar naik.

“Kekurangan pekerja sangat signifikan menyebabkan bekalan ayam segar berkurangan malah faktor cuaca yang panas berterusan ketika ini di Johor, memberi kesan kepada kualiti dan jangka hayat ternakan.

“Kualiti anak ayam tidak stabil menyebabkan kadar kematian yang tinggi, manakala kualiti makanan ternakan yang merosot walaupun harganya naik, menjejaskan peningkatan kadar tumbesaran ayam.

Advertisement

“Jadinya, kami menggesa kerajaan supaya membuka kemasukan pekerja asing bagi sektor pertanian, khususnya penternak ladang ayam supaya hasil ternakan dan bekalan ayam segar dapat dipulihkan segera,” katanya, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Lim berkata, langkah kerajaan yang dilaporkan untuk membenarkan import bekalan ayam sejuk beku bagi memenuhi permintaan, dijangka akan menjejaskan lagi penternak tempatan yang kian tersepit.

Katanya, ini kerana 75 peratus penternak ayam di negeri ini mengusahakan ladang ayam secara kontrak.

Advertisement

“Kami merayu kerajaan merangka satu dasar pengambilan buruh asing yang lebih ringkas terhadap sektor ini, bagi membolehkan hasil pengeluaran ayam segar negara ditingkatkan semula.

“Kerajaan juga diharap dapat melonggarkan permohonan perakuan penginapan pekerja asing dan mengecualikan permit menduduki daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), supaya proses permohonan pekerja asing dipermudahkan,” katanya.

Lim berkata, pada masa kini, penternak ayam kecil dan sederhana berada dalam keadaan sangat sukar berikutan pengeluaran yang terhad apatah lagi kenaikan harga makanan ternakan yang mendadak.

Advertisement

“Kami mohon supaya kerajaan memandang berat nasib penternak kontrak yang sering dipinggirkan.

“Jika pengeluaran ayam segar dapat ditingkatkan kembali dengan kebenaran pekerja asing kembali bekerja di ladang-ladang, sudah pasti harga ayam dapat distabilkan kembali,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top