Bersaing itu lumrah dalam kehidupan. Tak kiralah kita berniaga atau belajar. Hatta beribadah juga disarankan untuk bersaing. Nabi yang diutuskan menyempurnakan akhlak manusia pasti mengajar kita cara bersaing yang betul.
Di Guangzhou, persaingan sesama peniaga sangat tinggi. Jika pengunjung ke Zhan Xi Lu, banyak peniaga menjual barangan kulit, kasut, jam, jeans dan kemeja T. Setiap jenis perniagaan ini ditempatkan di bangunan yang sama.

Daging babi yang dijual di salah sebuah pasar
Sebagai contoh, seorang peniaga kasut menawarkan kasut-kasut yang sama dijual di kedai-kedai bersebelahannya yang berjumlah hampir 50 buah kedai kesemuanya. Sekali pandang, terus terfikir bagaimana jualan mereka hendak laku kalau semuanya menjual barangan yang sama.
Lebih malang lagi jika ada yang beranggapan mesti mereka dengki sesama peniaga lantas berusaha bagaimana untuk menjatuhkan peniaga lain. Keadaan yang digambarkan begini ada berlaku di Malaysia. Sesetengah peniaga terpaksa tutup kedai apabila disantau atau diguna-guna dengan ilmu hitam.
Ironinya di sini, fenomena begitu tidak berlaku. Para peniaga saling bantu-membantu dalam berniaga. Sekiranya barangan yang diinginkan pelanggan kehabisan stok, peniaga tersebut akan ambil stok baru daripada peniaga lain yang berdekatan.

Daging babi yang dijual di salah sebuah pasar
Lain pula halnya jika sikap berdengki itu wujud. Senario tarik menarik pelanggan pasti akan berlaku. Ann Wan Seng dalam bukunya ‘Rahsia Bisnes Orang Cina’ ada menyebutkan, kejayaan perniagaan orang Cina ialah pada prinsip menang-menang.
Para peniaga dalam satu kawasan yang sama biasanya akan saling menampung keperluan masing-masing. Secara tak langsung, perniagaan masing-masing dapat berjalan dengan lancar. Tidak terniat untuk jatuh-menjatuhkan sesama peniaga.
Walaupun kebanyakan peniaga di sini tidak beragama Islam, keunikan dalam persaingan ini adalah tindakan yang dianjurkan Islam. Sebagai contoh, Allah menyeru umat Islam untuk berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan dalam surah Al-Baqarah (ayat 148), Al-Maidah (ayat 48), Al-Hadid (ayat 21), dan Al-Muthaffifin (ayat 26).
Seruan untuk berlumba bukan bertujuan mencari siapa menang dan siapa kalah. Tujuannya adalah supaya berlaku suasana produktif apabila ramai orang melakukan kebajikan atau perniagaan yang sekaligus akan menaikkan taraf hidup masyarakat dari sudut ekonomi dan sosial.
Persaingan ini juga menggalakkan masyarakat supaya bersungguh-sungguh. Saya pernah menulis mengenai keunikan laoshi yang gigih mengajar sebelum ini yang terhasil daripada semangat persaingan.

Ikan yang dijual di salah sebuah pasar
Wu Laoshi sebagai contoh, sangat bersungguh dalam mengajar kami mengenal sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan lain yang dijual di pasar. Buktinya dia tetapkan satu masa untuk kami ke pasar berjalan kaki bersama.
Dalam perjalanan kami ternampak para pekerja sedang beratur sebelum memulakan tugasan di restoran. Ini juga satu budaya dalam perniagaan orang Cina di sini yang mementingkan disiplin dalam bekerja.
Sewaktu di pasar, Wu Laoshi menunjukkan satu per satu barangan yang dijual sambil bertanyakan apakah namanya dalam bahasa Mandarin. Sesekali bergurau senda menceriakan lagi suasana.
Apabila sampai di kawasan daging, kami cuba mengelak untuk berada jauh sedikit daripada peniaga. Pisau yang digunakan untuk memotong daging lembu dan ayam turut digunakan untuk memotong daging babi yang diletakkan bersebelahan atas meja yang sama.
Chop! Chop! Chop! Sambil laoshi menerangkan nama-nama daging, peniaga itu terus memotong daging babi untuk pelanggannya. Tiba-tiba darah daging babi itu terpercik dan terkena pada tudung salah seorang rakan kami.
Saya segera memeriksa pakaian sendiri. “Alhamdulillah, saya tak kena. Tak perlulah samak.” Rakan kami yang mengalami nasib malang itu kemudiannya memberitahu dia tak sanggup lagi memakai tudung itu dan terus membuangnya.

Pelbagai makanan laut terdapat di pasar
Apabila teringatkan insiden ini, saya tersenyum terkenangkan reaksi rakan tadi yang benar-benar rasa jijik dengan tudung yang terkena darah babi. Walaupun boleh disamak, dia lebih yakin dan selesa untuk tidak memakai tudung itu lagi.
Johorkini