BM | EN | 中文

PERPADUAN, HAL YANG SERING DILUPAKAN

Perpaduan.png
Advertisement

Oleh: Luthfi Yusri

Berpusu-pusu manusia keluar dari sebuah masjid di selatan tanah air itu sejurus mengaminkan bacaan doa imam selepas solat Jumaat.

Sekalian jemaah berasak-asak memakai selipar di atas tanah dan terus bergegas ke kenderaan masing-masing untuk meneruskan perjalanan. Mencari rezeki buat anak-anak. Baik yang tua mahupun muda, kedua-duanya sama. Pasti ada urusan yang mahu diselesaikan.

Advertisement

Namun ada satu hal yang kurang kita ambil pandang. Hal ini kelihatan picisan dan remeh tetapi begitu memberi makna bagi sesiapa yang punyai jati diri. Hal ini menatijahkan sebuah refleksi murni bagi sesiapa yang punyai identiti diri. Hal ini yang memberi konotasi harmoni bagi sesiapa yang mengimani wacana negara bangsa yang dibincang oleh manusia yang peka dengan konteks wacana bangsa di bumi Malaysia.

Tetapi begitulah, siapa yang kisah mengenai hal ini. Orang kita gemar untuk menghukum berbanding mengkaji satu persatu masalah. Orang kita mudah memberi memberi justifikasi tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Seolah-olah bibit-bibit keamanan tidak lagi akan muncul. Hidup dalam nuansa prejudis setiap masa. Begitulah kebanyakan orang kita. Soal tulisan Jawi, rehal atas bangunan DBP, isu Dr Zakir Naik, akaun palsu menghina institusi raja dan banyak lagi.

Advertisement

Isu ini hangat kerana jurubicaranya. Seolah-olah mereka tahu semua perkara. Mengulas isu macam lebih sudu dari kuah. Isu kaum dan agama seringkali menjadi mauduk pertentangan demi meraih dan memuaskan kepentingan diri.

Bagaimana dengan perpaduan nasional kita? Besar kemungkinan tidak akan kita pedulikan kerana hanyalah hal picisan yang tak pernah memberi sebarang keuntungan terutamanya bagi mereka yang tidak punyai semangat perpaduan.

Kadang-kadang mereka hanya melaungkan sahaja, tetapi tidak ada apa-apa makna. Pasca menunaikan solat Jumaat, cuba perhatikan.

Advertisement

Tiap kali umat Islam menunaikan solat Jumaat, perhatikanlah betapa murninya insan yang menjaga parkir dan lalu lintas untuk mengawal keselematan. Walaupun berlainan bangsa dan agama.

Tiap kali penganut Buddha punyai upacara di tokong, perhatikanlah betapa murninya insan yang menjaga trafik untuk mengawal keselamatan orang ramai. Walaupun berlainan bangsa dan agama. Begitu juga ketika tiap kali penganut Hindu ada upacara di kuil.

Walaupun berlainan bangsa dan agama, hakikatnya begitulah dinamiknya Malaysia. Kepelbagaian adalah rahmat yang harus diurus. Ia bukanlah tembok yang dibina untuk merasakan bahawa satu kelompok sahaja membawa kebaikan. Walaupun berbeza bangsa dan agama sekalipun, kita berkongsi bumbung yang sama.

Advertisement

Tolaklah sifat perkauman yang merosak dalam diri baik orang Melayu, Cina dan India. Kewujudan kita di bumi adalah untuk saling kenal antara satu dengan yang lain.

Ini baru hal yang kecil. Banyak lagi hal yang jarang sekali kita perhalusi sedangkan pengajarannya banyak sahaja berlaku di depan kita.

Kefahaman mengenai perpaduan, keharmonian dan keamanan haruslah menjadi keutamaan semua pihak.
Sejauh mana kita memaknai sebuah negara berbilang bangsa? Ia perlu diwacanakan dengan nuansa rasional yang tulen, bukan emosi yang membungkam buta.

Advertisement

Raikan perbezaan,

Warna kulit juga kepercayaan,

Agama dan bahasa bukan alat perbahasan,

Advertisement

Jangan sengaja undang kemarahan

Lihat parut pada wajah sang tua,

Berbaloikah kita membuka semula pintu derita,

Advertisement

Melepaskan kebencian dan huru-hara,

Mengorbankan nyawa yang tidak berdosa

Usah dibiar marak api sengketa,
Kelak binasa seluruh tamadun,

Advertisement

Usah dibiar emosi berbicara,

Hilang segala sopan dan santun

Ini tanah kita,

Advertisement

Bersama menjaga sejak dulu kala,

Budi dan jasa tidak dilupa,

Sampai saat menutup mata

Advertisement

 

Luthfi Yusri & Syahirah Abd Malek

Penulis dan pemuisi merupakan mahasiswa Universiti Malaya dalam Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Bahasa Linguistik

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top