JOHOR BAHRU, 6 DIS: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mahu terus menjadi entiti terbaik dalam usaha memperkasa usahawan di negara ini menerusi pelbagai pelan perancangan dan skim pembiayaan.
Pengerusinya, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, sebanyak RM7.7 juta diluluskan menerusi penganjuran siri jelajah BizFrancais di beberapa negeri pada tahun 2019.
Beliau memberitahu, program berkenaan bertujuan membantu golongan usahawan mencuba perkara baharu selain pendedahan dalam bidang perniagaan francais berpotensi untuk berkembang.
“Program ini merupakan inisiatif Pernas bagi pembentukan usahawan yang komprehensif dengan membantu mereka bagi mencari peluang menceburi bidang perniagaan khususnya perniagaan francais.
“Ia meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat dari agensi kerajaan seperti Pernas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya, lapor SH Online.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian BizFrancais Johor 2021 yang turut disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad di Holiday Villa di sini Sabtu lalu.
Zakaria memberitahu, Pernas turut menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM4.23 juta menerusi Program BizFrancais Johor bagi pembangunan usahawan di negeri Johor.
Johorkini