PONTIAN, 13 NOV: Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyeru agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengkaji semula arahan permohonan permit dari rumah ke rumah yang ditetapkan baru-baru ini.
Menurut Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, kajian tersebut adalah perlu agar tidak merumitkan suasana berkempen oleh parti-parti yang bertanding.
“Berjasa melihat perkara ini adalah merumitkan malahan arahan yang diterima adalah pada saat akhir tarikh berkempen iaitu berbaki dua hari lagi.
“Selain itu, permohonan permit bagi kempen dari rumah ke rumah tidak dinyatakan di dalam mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan Pilihan Raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya lagi, arahan tersebut seakan-akan meremehkan dan memandang kecil terhadap kematangan calon-calon dan parti-parti politik yang sedang berkempen.
“Pada masa yang sama, SPR haruslah bersikap telus dan amanah dalam melaksanakan tugas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau berkata Berjasa tetap akan terus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh SPR dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kali ini.
“Berjasa secara jelas dan dasarnya tidak membantah arahan tersebut, malah akur dengan segala arahan daripada pihak berkuasa,” katanya yang turut bertanding dalam PRK kawasan itu pada Sabtu ini
JohorKini