JOHOR BAHRU, 21 FEB: Permohonan kemasukan pelajar melalui sistem UPUonline ke 20 universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi (KM), politeknik, Kolej Komuniti dan empat Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) untuk sesi akademik 2020/2021 dibuka bermula 24 Februari ini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia, permohonan boleh dibuat melalui sistem UPUonline di http://upu.moe.gov.my bermula jam 12 tengahari Isnin depan.
“Bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sistem itu akan ditutup pada 31 Mac pada 11.59 malam.
“Sementara itu untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau lepasan setaraf, permohonan boleh dibuat sehingga 7 April pada pukul 11.59 malam,”kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga mengingatkan pemohon mendapatkan nombor unik ID di Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum memohon mulai Isnin depan.
“Lepasan SPM perlu mendapatkan nombor unik ID sebelum 30 Mac. Sementara itu untuk STPM atau lepasan setaraf, tarikh tutup adalah pada 6 April,”kata kenyataan itu lagi.
Pemilihan program pengajian untuk lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) boleh dibuat lima hari selepas keputusan SPM dan STPM diumumkan.
Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, hubungi 03-88708200 atau e-mel ke upu@moe.gov.my
Johorkini