BM | EN | 中文

Permohonan Syed Saddiq pindah kes ke Mahkamah Tinggi didengar 25 Nov

syed-saddiq.jpg

Gambar Ehsan The Star

Advertisement

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memindahkan empat kes yang dihadapinya berkaitan pecah amanah, salah guna wang sumbangan dan pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi akan didengar pada 25 Nov.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir berkata tarikh itu ditetapkan hari ini semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

“Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di mahkamah terbuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Advertisement

Pada 19 Ogos, bekas menteri belia dan sukan itu memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas alasan terdapat isu perlembagaan yang akan dibangkitkan dalam kes tersebut dan lebih wajar dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Dalam notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq, 29, turut memohon agar semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Advertisement

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Pada 5 Ogos, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Advertisement

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top