BM | EN | 中文

PERMIT KEMPEN RUMAH KE RUMAH KEPUTUSAN POLIS – SPR

IMG-20191115-WA0010.jpg
Advertisement

 

Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 15 NOVEMBER : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan mengeluarkan arahan mendapatkan permit untuk kempen rumah ke rumah pada pertengahan tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Advertisement

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia merupakan keputusan polis dan telah diperkenalkan sejurus tempoh kempen bermula.

“Saya perlu jelaskan ia bukan keputusan SPR tetapi isu permit ini di bawah kuasa polis. Ia merupakan keputusan polis untuk mengenakan syarat sedemikian.

“Ketika ia diperkenalkan, ejen calon yang berada di situ telah dimaklumkan dan tiada bantahan daripada mereka.

Advertisement

“Malah, selepas itu ramai yang memohon permit tersebut dan ia dikeluarkan oleh polis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengagihan peralatan pilihan raya dan peti undi PRK Tanjung Piai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bahawa arahan mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah dikeluarkan oleh SPR pada pertengahan tempoh berkempen.

Azhar menyifatkan mereka yang membuat tuduhan demikian terhadap SPR sebagai berniat jahat.

Advertisement

“Ia adalah satu penipuan dan mereka yang mendakwa SPR mengelurkan arahan sedemikian melakukannya dengan niat jahat,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bahawa Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihanraya tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.

“Peguam Negara sebagai ketua pegawai perundangan negara kerajaan telah mengeluarkan garis panduan dan saya bersetuju dengan pandangannya iaitu tiada keperluan permit untuk kempen rumah ke rumah,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top