JOHOR BAHRU, 30 OKT : Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, Baginda akan terus melakukan yang terbaik bagi membantu pelajar-pelajar sekolah serta penuntut di universiti menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
“Apabila saya bertemu dengan pelajar dan bercakap dengan mereka, saya amat teruja dengan tahap keyakinan mereka dalam merealisasikan impian masing-masing.
“Ada yang menceritakan mengenai kerja separuh masa yang dilakukan, malah saya juga ada bertanyakan mengenai situasi keluarga mereka.
“Secara tidak langsung saya dapat melihat generasi muda yang mengambil berat ibu bapa serta keluarga mereka,” titah Baginda Permaisuri Johor.
Permaisuri Johor bertitah demikian sempena Konsert Amal Ketulusan Hati yang julung kali dianjurkan, baru-baru ini.
Konsert berkenaan bertujuan meraih dana program-program bantuan pendidikan untuk seluruh rakyat Malaysia yang sebanyak RM1.25 juta berjaya dikumpulkan.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Permaisuri Johor, di mana Baginda amat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta sentiasa menitikberatkan kepentingan pendidikan dalam kalangan rakyat.
Konsert itu turut dijayakan dengan nyanyian yang disampaikan dua artis tempatan iaitu Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.
Manakala, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim mempamerkan bakat bermain gitar elektrik dengan diiringi dua buah lagu.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim, Kerabat Diraja Perak serta kerabat diraja dari negeri-negeri lain.
JohorKini