JOHOR BAHRU, 16 SEPT: Meskipun telah menamatkan pengajian di Universiti Oxford pada 1983, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah sentiasa meminati bidang akademik.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sering menghadiri kuliah serta persidangan akademik.
Usaha ini bermula pada September 2009, apabila Raja Zarith Sofiah menghadiri perjumpaan hujung minggu Alumni Oxford.
Perjumpaan itu ditemani tiga ahli akademik daripada UTM iaitu Prof Rose Alias dan Prof Masputeriah Hamzah serta Datin Dr Ruzy Hashim daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rabu lepas, Baginda sekali lagi berkenan mengadakan pertemuan bersama tiga ahli akademik itu.
Tujuannya bagi mengimbau kembali perjumpaan yang pernah diadakan 10 tahun lalu selain perkongsian pendapat.
Ini berikutan, pada pertemuan itu, Baginda berminat untuk mencari inisiatif baharu bagi membantu pelajar Malaysia yang mempunyai masalah kewangan melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
Yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada 2015 itu menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan setiap tahun.
Johorkini