JOHOR BAHRU, 31 DIS : Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada dua orang balu anggota polis yang terkorban ketika bertugas pada 6 November lalu pada Ahad lepas.
Allahyarham Lans Koperal Saifullah Mohamad dari Balai Polis Pasir Gudang dan Allahyarham Lans Koperal Mohammad Johari Rosli, masing-masing dari Balai Polis Scientex meninggal dunia selepas mereka dirempuh sebuah lori yang terbabas di Jalan Canggung, Kota Masai.
Ketika kejadian pada jam5.30 pagi, mereka berdua bersama tiga anggota lain baharu selesai tugasan sekatan jalan raya.
Tuanku Permaisuri mengurniakan sumbangan kepada Norina Bakri iaitu balu Saifullah dan Norhafizah Fazil iaitu balu Mohammad Johari), sambil menyampaikan kata-kata semangat serta sokongan moral kepada mereka.
Kemudiannya turut diadakan bacaan Surah Yassin dan tahlil, sebelum majlis santapan ringan di surau dan dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohamad Kamaruddin Md Din dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Ismail Dollah.
JohorKini