PASIR GUDANG, 2 SEPT: “Saya sudah menyerahkan usul untuk speaker benarkan bahas hari ini. Kerajaan Pusat mesti isytihar darurat!”
Demikian kenyataan ‘panas’ Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika insiden pencemaran Sungai Kim Kim melanda kawasan ini, Mac lalu.
Katanya, peristiwa itu menyebabkan 111 buah sekolah diarah tutup serta merta ekoran kehadiran gas toksik, selain mengancam kesihatan dan nyawa penduduk Pasir Gudang.
Atas sebab itu beliau mendesak Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat.
Namun kata Hassan, keresahan yang melanda selepas kes pencemaran udara kedua di situ reda setelah melihatkan komitmen dan kerjasama pelbagai pihak dalam menangani masalah yang timbul.
Keyakinannya itu juga turut dikongsikan dengan masyarakat setempat, dengan Hassan sendiri menyatakan bahawa pencemaran kali ini akan lebih segera untuk diatasi.
“Saya merupakan ahli parlimen yang kritikal dengan kerajaan negeri, tetapi dalam hal pencemaran ini, saya percaya kerajaan pusat dan negeri telah dan akan melakukan yang terbaik untuk Pasir Gudang.
“Selepas mendengar keluhan dan cadangan yang diutarakan dalam dialog rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Mesra Damai, saya sendiri telah bertemu dengan Menteri Besar Johor (Datuk Dr Sahruddin Jamal), serta agensi kerajaan negeri dan pusat untuk membincangkan langkah pencegahan jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” katanya.
Hassan berkata demikian ketika ditemui Johorkini selepas program ‘Kempen Kesedaran 2.0 – Pengetahuan Keselamatan Diri’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah Ria yang dianjurkan Ihsan Johor dengan kerjasama 3M Malaysia Sdn. Bhd, baru-baru ini.
Pada program tersebut, kira-kira 1,000 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 12 buah sekolah yang berada dalam kawasan titik panas insiden pencemaran udara di Pasir Gudang menerima topeng muka nyah-karbon sebagai langkah berjaga-jaga menduduki peperiksaan yang bermula 4 September nanti.
Dalam pada itu, pelbagai pihak menyuarakan pandangan antaranya keperluan untuk mengadakan kajian analisis beban dan daya tampung pencemaran bagi menilai dan menganalisa kesan serta punca yang boleh menyebabkan pencemaran udara di Pasir Gudang.
Selain itu terdapat cadangan agar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda bagi menangani kejadian pencemaran seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim daripada berulang.
Lanjutan itu kata Hassan, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah langkah segera dalam menangani apa sahaja bentuk bencana dan pencemaran.
Manakala tindakan tegas dan hukuman perlu diambil keatas penjenayah alam sekitar sebagai pengajaran, selain bukti bahawa kerajaan komited untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Hasil perbincangan dan cadangan yang mengambil kira suara masyarakat, Menteri Besar telah mengambil tindakan drastik melalui penguatkuasaan undang-undang dengan menutup dan menghentikan operasi kilang-kilang yang terlibat dengan masalah pencemaran tersebut”, katanya.
Johorkini