PASIR GUDANG, 11 DIS: Sehingga Oktober tahun ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri ini telah menguruskan sebanyak 21,193 kes membabitkan pembayaran insurans berjumlah RM83 juta.
Pengarahnya, Tong Sing Chuan berkata, jumlah itu membabitkan kesemua jenis kes yang ditanggung Perkeso.
“Kes yang melibatkan kematian terbahagi kepada dua jenis iaitu kematian bukan bencana kerja dan kematian disebabkan bencana kerja.
“Bagi kes kematian bukan bencana kerja, Perkeso Johor telah menguruskan sebanyak 1,542 kes membabitkan pembayaran berjumlah RM4.3 juta.
“Sementara itu, kes kematian disebabkan bencana kerja adalah sebanyak 176 membabitkan pembayaran sebanyak RM621,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan semasa menyerahkan insurans kepada waris orang berinsurans di Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Operasi KPJ Pasir Gudang, Muhamad Amin Othman.
Sementara itu, waris penerima insurans, Halimah Abu Bakar, 51, memberitahu, pihaknya amat berterima kasih dengan bantuan diberikan Perkeso atas kejadian menimpa anaknya, Abu Sufian Mohd Shah, 29.
“Allahyarham anak saya merupakan individu yang amat berdedikasi dalam pekerjaannya. Dia sanggup menyewa di lokasi berhampiran dengan tempat kerja untuk memudahkan urusannya.
“Saya amat bersyukur dengan bantuan yang diterima ini kerana anak saya merupakan anak sulung dan memang selama ini dia yang banyak membantu kewangan keluarga,” ujarnya yang merupakan seorang ibu tunggal.
Allahyarham Abu Sufian maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya selepas bekerja pada 11 November lalu.
JohorKini