JOHOR BAHRU, 31 MEI: Perkembangan politik terbaharu peringkat nasional dan di Johor berkemungkinan menyebabkan gabungan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan negeri terpendek dalam sejarah.

Dr Mohd Zuhan Mohd Zain
Demikian dinyatakan Pemikir Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain yang berkata, kedudukan rapuh PN boleh menyebabkan kerajaan negeri bertukar pada bila-bila masa.
“Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini kita dapat lihat pergolakan berlaku dan pastinya perkara itu terkesan di negeri ini.
“Hitungan serta susun gerak kerja yang dilakukan membuktikan bahawa kerajaan PN hari ini akan menjadi kerajaan terpendek dalam sejarah negeri Johor dengan kerapuhan dalam membentuk kerajaan di negeri ini.
“Kita sudah kenal pasti beberapa Adun PN di Johor yang mampu untuk menunjukkan sikap berprinsip mempertahankan mandat rakyat bagi bertaut semula dengan PH di negeri ini,” katanya ketika dihubungi.
Zuhan berkata bilangan kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan itu sudah diperolehi dan hanya menanti waktu yang sesuai untuk membuat tindakan.
Katanya, perbezaan antara kerajaan PN dan PH di Johor hanya terpisah dengan satu kerusi.
“Senarai pendek yang diterima sudah cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan PH akan terbentuk semula di Johor dengan bilangan yang lebih stabil berbanding dengan kerajaan PN hari ini,” ujarnya lanjut.
Ketika ditanya Adun parti mana yang akan menukar sokongan, Zuhan menjelaskan PH sedia menerima mana-mana Adun dari PN.
“Kita hanya menegaskan bahawa bilangan itu cukup. Rakyat hanya perlu tunggu dan lihat keadaan ini berlaku.
“Kita tidak nafikan bukan sahaja Adun dari rakan lama PH sahaja yang akan menyokong PH malah ada juga dari kalangan parti-parti lain di kalangan mereka.
“PH bersedia untuk menerima sesiapa sahaja Adun dari PN bagi sama-sama menjalankan semula usaha memartabatkan rakyat setelah rakyat ditipu dengan janji manis mereka yang inginkan kuasa namun tidak memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat,” tegasnya lagi.

Aminolhuda Hassan
Dalam pada itu, pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan pada sidang media pagi tadi turut mengulas perkara sama.
“Berdasarkan kepada mandat rakyat, saya yakin dan percaya ada wakil rakyat (Adun) yang pro Tun M akan berpihak kepada kami (PH) dan Insya Allah dia akan bersama dengan kita.
“Pada kami, sekiranya Adun dari PKR yang menyokong PN sebelum ini mahu membuat keputusan bersama semula PH kami terima.
“Yang penting mereka sedar sekarang berlakunya kepincangan dalam pentadbiran dan sebagainya apabila (mandat) kerajaan diambil secara tidak betul,” katanya.
Johorkini