BM | EN | 中文

Perhilitan Johor tingkat kerjasama dengan agensi penguatkuasaan kekang pemburuan haram

Perhilitan-Gajah.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 11 SEPT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan mempertingkat kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam usaha menangani aktiviti pemburuan haram hidupan liar di negeri ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata siasatan juga akan dilakukan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pembabitan anggotanya yang melindungi aktiviti pemburuan haram berkenaan.

Beliau berkata Perhilitan Johor sememangnya memandang serius jenayah melibatkan hidupan liar dan aktiviti pemburuan haram yang masih berlaku dan pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh perhilitan seperti bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan serta menjalankan operasi hasil daripada maklumat orang ramai.

Advertisement

“Warga Jabatan Perhilitan sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara dengan penuh berintegriti dalam merealisasikan usaha menangani aktiviti pemburuan haram hidupan liar demi melindungi khazanah biodiversiti negara.

“Kami juga akan menjalankan siasatan segera jika terdapat penglibatan atau salah laku kakitangan dalam membantu pemburuan haram,” katanya, lapor Bernama.

Ketika ditanya mengenai tangkapan lima lelaki serta seorang wanita di Mersing dan Kluang bulan lepas yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pemburuan haiwan eksotik, Salman berkata Perhilitan Johor sememangnya bekerjasama dengan pihak polis dan akan terus berkongsi maklumat sehingga tertangkapnya pihak tidak bertanggungjawab.

Advertisement

“Kerjasama dengan pihak polis adalah melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 Sept 2019. Aktiviti ini merupakan operasi berkala yang dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) serta badan bukan kerajaan seperti Wildlife Conservation Society (WCS) dan Pelindung.

“Operasi ini bertujuan untuk membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan lain-lain pelanggaran di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan akta yang berkaitan.

“Perhilitan juga sering menerima bantuan daripada Polis Marin terutamanya melibatkan kes penyeludupan hidupan liar ke negara jiran. Selain itu, kami turut berkongsi dan bertukar maklumat risikan berhubung jenayah hidupan liar merentas sempadan dengan negara lain menerusi Interpol,” katanya.

Advertisement

Salman berkata sepanjang tahun 2019 sehingga 9 Ogos lepas, 16 siri operasi OBK telah dijalankan di negeri ini membabitkan penahanan 37 individu ‘Orang Yang Disyaki’ (OYDS) terdiri daripada warga tempatan dan asing melibatkan 10 kes pemburuan dan 12 kes penyeludupan hidupan liar.

Selain itu, pelbagai jenis hidupan liar seperti burung daun sayap biru, daging babi hutan, daging babi bodoh, ayam hutan, murai batu, daging rusa sambar dan duri landak raya termasuk jerat dawai dianggarkan bernilai RM441,860 berjaya di rampas.

Sebanyak 299 jerat turut dimusnahkan manakala lapan kenderaan, sebuah bot dan dua laras senjata api dianggarkan bernilai RM310,000 turut disita, tambahnya.

Advertisement

Menurut Salman setakat ini tiga kes telah dibicarakan di mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman, sementara tiga lagi kes sedang didakwa manakala 15 kes masih dalam siasatan lanjut.

Selain OBK, inisiatif Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang dilaksanakan pada Jun lalu melibatkan pelantikan 12 orang secara kontrak melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat Orang Asli bagi membantu mengawal Taman Negara Endau-Rompin, Johor.

Bulan lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dua kali menzahirkan kekecewaan serta kemurkaan baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda terhadap aktiviti pemburuan haram yang didakwa berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri ini.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top