BM | EN | 中文

Perdana menteri gagal bertindak kerana takut hilang kuasa, kata Mohamad Sabu

ms3_50_1_optimized.jpeg

Rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020 menjadi punca ketidakstabilan politik dan negara hingga kini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, peralihan kuasa secara tidak demokratik itu dianggap perkara biasa dalam kalangan rakyat tetapi kesannya telah menyebabkan banyak pihak berdepan kesukaran hidup ketika ini.

“Bila berlaku perubahan tanpa mengikut mandat rakyat, apa berlaku? Pelabur tidak yakin, siapa lagi yang berani datang melabur besar-besaran di Malaysia? Anak mudah susah mulakan kehidupan. Nak pulihkan kerosakan ini ambil masa 10 hingga 15 tahun

“Kami wakil rakyat tiada masalah, elaun dan gaji setiap bulan masih terima tetapi yang berdepan masalah adalah rakyat,” ujarnya.

Perdana Menteri juga, ujar beliau, gagal mengambil tindakan terhadap menteri dan timbalan menteri yang gagal melaksanakan tugas dengan baik walaupun heboh diperkatakan.

Hal ini kerana, kata Mohamad, sebarang tindakan terhadap menteri dan timbalan menteri boleh menyebabkan perdana menteri kehilangan kuasa bila-bila masa.

“Jangan fikir main-main soal tukar pemerintahan tidak mengikut cara pilihan raya.

“Ada seorang timbalan menteri dari Johor berada di luar negara semasa rakyat kesusahan, perdana menteri tak berani pun nak cakap apa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Bilik Operasi Utama DUN (BOUD) Mahkota, dekat sini, malam tadi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Raja berkata, kerosakan demokrasi yang dilakukan BN-PN telah menyebabkan Malaysia dinilai merosot oleh banyak badan kajian dunia.

Hal ini juga, ujarnya, menyebabkan ramai anak muda yang belajar di luar negara enggan pulang ke tanah air selepas tamat pengajian.

“Rakyat kita semakin ramai yang belajar di Eropah, Ireland, Doha, Dubai tidak mahu balik ke Malaysia kerana rasa tidak yakin berada di negara sendiri,” katanya.

Share this post

scroll to top