BM | EN | 中文

Peralatan bantuan pelayaran di perairan Johor Timur dan Barat dipastikan berfungsi baik

Noranita-Md-Saleh-jabatan-laut-wilayah-selatan-johor-timur-barat.jpg

Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 16 OKT: Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan sentiasa memastikan peralatan bantuan pelayaran di perairan Johor Timur dan Barat berfungsi dengan baik bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan, terutamanya pada waktu malam.

Meskipun tiada insiden dilaporkan sejak awal Januari tahun ini, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Trafik Maritim dan Bantuan Pelayaran jabatan itu Noranita Md Saleh berkata pemantauan dan pemeriksaan berkala sentiasa dilakukan di bawah kelolaan empat prang juruteknik.

“Kita perlu memastikan setiap alat bantuan pelayaran mematuhi tahap ketersediaan sebanyak 97 peratus dalam masa setahun.

Advertisement

“Jadi, sekiranya ada lampu alat bantuan itu terpadam, maka ia perlu diperbaiki seberapa segera dan tidak boleh terpadam lebih daripada 48 jam,” katanya kepada pemberita ketika membuat pemantauan alat bantuan pelayaran di perairan Johor Barat di sini, kelmarin.

Katanya antara kemalangan yang berisiko untuk berlaku adalah pelanggaran kapal, kapal tersangkut di kawasan cetek atau hilang panduan.

Noranita berkata secara keseluruhan terdapat 57 pelampung pandu dan 53 bikon di perairan Johor Timur dan Barat serta sebuah rumah api di Bukit Segenting, Batu Pahat, yang berperanan sebagai alat bantuan pelayaran kepada kapal, bot pemancing dan sebagainya.

Advertisement

Jelasnya pelampung pandu berperanan sebagai penanda laluan keluar atau masuk, selain penanda bahawa terdapat sesuatu di bawah laut seperti kapal tenggelam, manakala bikon pula adalah penanda bagi kawasan cetek.

Bemama dan beberapa pengamal media lain berpeluang menyertai aktiviti pemantauan alat bantuan pelayaran bermula pukul 9 malam sehingga kira-kira 1 pagi di perairan Johor Barat, iaitu merangkumi jarak 15 batu nautika dari Jeti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan sehingga ke hab pelabuhan Johor Bahru.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top