BM | EN | 中文

Perak kaji lebih banyak kawasan untuk pengiktirafan Geopark Kebangsaan

Geopark-Lembah-Kinta-Perak.jpg

Gambar Ehsan Geopark Lembah Kinta

Advertisement

IPOH, 21 DIS: Perak akan mengkaji lebih banyak lokasi bersejarah yang berpotensi diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan baru selepas Lenggong dan Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya turut mengenal pasti dan memastikan lokasi berkenaan memenuhi kriteria ditetapkan di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan yang diterajui kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Lenggong yang baru sahaja diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan adalah satu produk pelancongan yang kita nantikan yang mana diusahakan oleh Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (bekas menteri KeTSA) dan akhirnya kementerian telah setuju untuk mengiktirafnya sama seperti di Kinta dan tempat lain sebelum ini.

Advertisement

“Ia adalah satu destinasi menarik yang kita jadikan sebahagian destinasi pelancongan di Perak,” katanya pada sidang media majlis prapelancaran acara Pertunjukan Bot Antarabangsa Pangkor 2022 di Ipoh hari ini.

Beliau berkata pasukan khas diketuai Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong telah ditubuhkan bagi perancangan khusus untuk mengurus Geopark Kebangsaan Lenggong termasuk usaha mempromosi lokasi berkenaan secara besar-besaran.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini dilaporkan berkata Lenggong dan Labuan kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baru selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Perak; Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah dan Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah.

Advertisement

Takiyuddin berkata pengiktirafan Lenggong dan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan dibuat pada 16 Dis lepas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021.

Geopark Kebangsaan Lenggong berkeluasan 2,068 kilometer persegi (km2) kaya dengan keunikan landskap batuan, warisan biologi dengan lapan biotapak dan budaya dengan 19 tapak budaya serta menyimpan pelbagai sejarah formasi geologi, khasnya bertaraf antarabangsa.

Selain itu, sembilan tapak geoarkeologi di Lenggong juga sebelum ini telah menerima pengiktirafan Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Advertisement

Terdahulu, dalam ucapannya Saarani berkata Pameran Bot Antarabangsa Pangkor 2022 yang julung kali diadakan pada 19 hingga 23 Okt tahun depan mampu meningkatkan sosio-ekonomi selain menonjolkan keunikan ciri-ciri sosial dan budaya masyarakat setempat.

Katanya, acara bertaraf antarabangsa itu disasarkan membawa pempamer dari lebih 20 negara terdiri daripada pemilik, pembuat, pengedar alat ganti dan rangkaian pengeluar aksesori rantaian industri marin termasuk sektor rekreasi seperti aktiviti sukan air, selam skuba, memancing dan jet ski.

Beliau berkata ia adalah platform perniagaan terkemuka dengan kualiti dan nilai yang baik untuk keseluruhan industri bot selain menyediakan persekitaran perniagaan profesional untuk pempamer dan pembeli di seluruh dunia.

Advertisement

“Selain pameran bot, pelbagai pengisian acara lain sedang dirancang antaranya demontrasi penangkapan penjenayah di laut, demonstrasi oleh pasukan Pasukan Khas Laut, pameran aset Tentera Laut Diraja Malaysia, seminar berkaitan pengendalian bot dan penyediaan pusat pemeriksaan sehenti oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk pempamer yang belayar ke lokasi pameran,” katanya.

“Penganjuran kesemua acara itu akan meletakkan Perak sebagai antara negeri yang mengisi serta memeriahkan kalendar acara Maritim Malaysia selain Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Hari Armada Malaysia,” katanya.

Katanya, acara yang diadakan hasil kolaborasi Tourism Perak, Pertubuhan Usahawaniaga Perak dan Eagle Swipe Global Sdn Bhd berkenaan dijangka mampu menggamit kehadiran lebih 60,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top