MERSING, 3 OKT: Penyu dilihat berpotensi dijadikan sebagai tarikan di kepulauan Mersing, memandangkan kesemua 13 pulau di perairan berkenaan yang diwartakan sebagai Taman Laut sering menjadi kawasan pendaratan hidupan liar itu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) sentiasa giat melakukan konservasi terutama membabitkan spesies penyu mendarat iaitu agar dan karah.
Beliau berkata sejajar dengan usaha itu, JPNJ akan mengeluarkan lebih banyak lesen memindah atau memungut telur penyu yang dapat menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk kampung.
“Hampir 200 penyu mendarat di Johor sepanjang April hingga September setiap tahun. Selama ini kerajaan negeri cuma memperuntukkan sebanyak RM5,000 sahaja untuk membeli telur penyu daripada orang kampung, kemudian ia ditetaskan oleh JPNJ.
“Justeru, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini memperuntukkan RM200,000 bagi tujuan konservasi penyu ini.
“Kita bukan sahaja dapat mempertahankan konservasi penyu, malah ia juga sumber pendapatan baharu penduduk kampung dengan membeli telur itu daripada mereka,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, di sini hari ini.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengarah JPNJ Zainudin Abd Wahab.
Johorkini